KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun serta denda RM5,000 ke atas seorang guru dan rakannya yang bekerja sebagai buruh selepas didapati bersalah memperdagang seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks, dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Hasfyanizam Mansor, 50, dan Mohamad Fazley Jaafar, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Kedua-dua tertuduh juga diperintahkan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memperdagang seorang wanita warga tempatan yang ketika itu berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks dengan menyalahgunakan kedudukan mangsa yang mudah terdedah kepada perbuatan pemerdagangan orang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar di sini pada pukul 2.35 pagi, 11 Mac 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, peguam Mohd. Shahir Mat Jusoh daripada Tetuan Ghazali & Co. memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum dengan alasan kedua-dua anak guamnya merupakan ketua keluarga yang menanggung isteri serta anak-anak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizudin Manjur Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.
Beliau berkata, Mohd. Hasfyanizam yang merupakan seorang guru sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat dan membimbing anak bangsa ke arah kebaikan bukannya terlibat dalam kegiatan jenayah sedemikian.
“Pihak pendakwaan berharap hukuman yang dijatuhkan dapat menjadi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh supaya mereka bermuhasabah, berubah menjadi insan yang lebih baik serta berguna kepada masyarakat,” katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd. Zul Zakiqudin berkata, mahkamah berharap hukuman tersebut dapat memberi keinsafan kepada kedua-dua tertuduh dan menjadi pengajaran kepada orang lain.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ahmad Hafizudin bersama Timbalan Pendakwa Raya Noradila Abdul Latif. – UTUSAN










