Main sentimen perkauman taktik politik lapuk - Anthony Loke

Main sentimen perkauman taktik politik lapuk – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Celik Madani 2026 dan Dharma Madani Zon Selatan di Seremban hari ini.- UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan membangkitkan sentimen orang Melayu akan terancam sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan DAP memerintah merupakan taktik lapuk yang sudah tidak lagi relevan dalam suasana politik semasa.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sepanjang PH mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018, kepentingan masyarakat Melayu terus dipelihara menerusi pelbagai dasar dan program kerajaan.

“Selalu kata Melayu terancam, ini taktik lama. Apa yang terancam? di Negeri Sembilan semuanya okay sahaja.

“Menteri Besar kekal orang Melayu dan program serta dasar kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat termasuk orang Melayu terus dilaksanakan sejak PH mentadbir negeri ini pada 2018,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Celik Madani dan Dharma Madani Zon Selatan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin baru-baru ini yang mendakwa orang Melayu akan terancam sekiranya UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak memerintah Negeri Sembilan.

Selain itu, Anthony Loke berkata, Khairy wajar bertanya sendiri kepada masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sama ada mereka benar-benar berdepan ancaman seperti didakwa.

Katanya, DAP sering dijadikan sasaran dengan pelbagai tuduhan sedemikian walaupun ia tidak berasas.

“Apa yang orang Melayu terancam di Negeri Sembilan? Tanya orang Melayu di negeri ini, mungkin beliau tidak tahu kerana sudah lama tinggalkan Rembau.

“Biasalah, semuanya salah DAP. Yang saya pelik, pemimpin yang memainkan sentimen kaum ini tidak ada skrip atau alasan lain selain menyalahkan DAP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, setiap parti komponen dalam Kerajaan Madani berhak mengemukakan pandangan namun setiap keputusan dibuat secara kolektif menerusi persetujuan bersama.

Menurutnya, oleh itu tuduhan kononnya Perdana Menteri atau Menteri Besar mengikut telunjuk DAP adalah tidak berasas.

“Sudah tentu kita berbincang dalam gabungan politik dan memberikan pandangan. UMNO juga memberikan pandangan, tetapi akhirnya Perdana Menteri selaku Pengerusi Jemaah Menteri akan membuat pertimbangan terhadap semua pandangan sebelum membuat keputusan yang adil, bukannya mengikut telunjuk mana-mana pihak.

“Begitu juga Menteri Besar di Negeri Sembilan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Khairy tampil membawa pendekatan politik yang lebih progresif dan meninggalkan politik berasaskan sentimen perkauman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN