KUALA LUMPUR: Melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun dalam kehidupan membuatkan penyanyi dan pelakon, Fazura mengakui dirinya begitu dekat dengan mesej yang terkandung dalam single terbaharunya, Kisah Terbaik.
Menurut Fazura, setiap pengalaman yang pernah dilalui, sama ada manis mahupun pahit, banyak mengajarnya mengenai kekuatan, keikhlasan dan penerimaan terhadap perkara yang telah ditentukan dalam kehidupan.
Malah, pengalaman tersebut membuatkan dirinya lebih memahami bahawa setiap perjalanan yang sukar tetap mempunyai makna dan mampu membentuk seseorang menjadi lebih kuat.
“Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan.
“Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah,” katanya.
Fazura berkata, Kisah Terbaik bukan sekadar sebuah lagu yang mengangkat kisah percintaan, sebaliknya membawa mesej lebih luas mengenai penerimaan terhadap setiap pengalaman yang menjadi sebahagian daripada proses membentuk diri seseorang.

Katanya, ada kalanya seseorang perlu melalui pengalaman menyakitkan sebelum memahami hikmah di sebalik setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan.
“Bagi saya, Kisah Terbaik bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita.
“Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” katanya.
Selepas mencuri perhatian menerusi karya-karya terdahulu, Fazura kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi Kisah Terbaik, sebuah balada sarat emosi yang mengetengahkan tema penerimaan, kekuatan diri dan harapan untuk terus melangkah ke hadapan.
Lagu tersebut merupakan hasil kolaborasi bersama komposer, penulis lirik dan penerbit, Aiman Sidek serta Reza Ramsey.
Berkongsi mengenai proses pembikinan lagu itu, Fazura berkata, karya tersebut dihasilkan dalam suasana terbuka dan penuh kepercayaan sehingga membolehkan setiap emosi yang ingin disampaikan diterjemahkan secara jujur.
Menurutnya, perbincangan bersama Aiman dan Reza sepanjang proses penghasilan lagu turut memberi ruang kepadanya berkongsi pandangan serta pengalaman peribadi.
“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan.
“Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, jadi lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas,” katanya.
Dari sudut muzik, Kisah Terbaik menampilkan susunan sinematik dengan perjalanan emosi yang berkembang secara berperingkat, bermula dengan nuansa lembut dan rapuh sebelum mencapai kemuncak yang lebih besar serta penuh harapan.
Fazura berkata, susunan muzik tersebut membantu menghidupkan setiap emosi yang terkandung dalam lirik, sekali gus menjadikan karya berkenaan antara lagu paling matang dan dekat dengan dirinya.
“Saya rasa lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah. Ia bermula dengan rasa yang lembut dan rapuh, kemudian berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan.
“Susunan muziknya benar-benar membantu menghidupkan setiap emosi dalam lirik. Bagi saya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan diri saya,” katanya.
Dalam pada itu, Fazura berharap Kisah Terbaik dapat menjadi teman dan sumber kekuatan kepada pendengar, khususnya mereka yang sedang melalui detik sukar atau berusaha menerima pengalaman pahit dalam kehidupan.
Menurutnya, kemampuan sesebuah lagu untuk membuatkan seseorang berasa difahami serta memperoleh kekuatan untuk meneruskan kehidupan merupakan satu penghargaan besar buat dirinya sebagai penyanyi.
“Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap Kisah Terbaik dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar.
“Kalau lagu ini mampu membuat seseorang rasa difahami atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya,” katanya.
Menerusi Kisah Terbaik, Fazura turut mengajak pendengar melihat setiap episod kehidupan, termasuk pengalaman menyakitkan dan kegagalan, sebagai sebahagian daripada perjalanan membentuk diri yang lebih matang dan kuat.
Dengan melodi menyentuh perasaan, susunan muzik sinematik serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, lagu tersebut memperlihatkan sisi kematangan Fazura sebagai penyanyi dan pengkarya yang mahu menyampaikan karya bukan sekadar untuk hiburan, tetapi turut membawa mesej serta harapan kepada pendengar.










