Wajib isytihar harta, pasang kamera badan - Utusan Malaysia

Wajib isytihar harta, pasang kamera badan

MUZAFFAR SHAH MALLOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan mewajibkan perisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam terutamanya agensi penguatkuasaan, tidak hanya pegawai di peringkat atasan namun perlu juga melibatkan anggota bawahan.

Pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berpendapat, masalah integriti boleh berlaku tanpa mengenal tinggi atau rendah pangkat seseorang dalam satu-satu jabatan.

Beliau berkata, ekoran pendedahan salah guna kuasa dan rasuah yang begitu membimbangkan, maka amat relevan seandainya ahli keluarga terdekat mereka juga perlu diwajibkan berbuat demikian bagi mengelakkan kegiatan menyorok harta.

“Antara perkara yang boleh memberi kecurigaan pada orang ramai ialah mengenai aspek gaya hidup mewah luar biasa atau keterlaluan yang sering dipamerkan oleh seseorang individu. Jika terdapat bukti yang mencukupi, pihak berkuasa boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pihak yang disyaki.

“Sekiranya terdapat kes kukuh untuk pendakwaan, perubahan semacam individu yang disyaki terlibat boleh digunakan kelak sebagai salah satu bahan bukti berdasarkan keadaan (circumstantial evidence) dalam mahkamah seperti yang telah diperuntukkan di bawah Akta Keterangan 1950 (Akta 56),” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan rangkaian aktiviti penyeludupan manusia antarabangsa khususnya dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh dikenal pasti terlibat dalam kegiatan rasuah urusan cap palsu di pintu masuk utama negara.

Apa yang mengejutkan anggota sindiket yang terdiri daripada ejen-ejen di luar negara itu menawarkan habuan kereta mewah termasuk Rolls-Royce kepada kaki tangan imigresen.

Anggota sindiket dibantu kakitangan imigresen terbabit akan mengatur pergerakan pelawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Dalam pada itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan pemakaian kamera badan kepada anggota penguatkuasa yang bertugas di lapangan.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kaedah berkenaan sudah lama diamalkan di negara-negara Eropah antaranya Amerika Syarikat dan terbukti berkesan mengekang penularan jenayah rasuah dalam kalangan anggota.

“Kamera badan adalah cadangan yang terbaik. Selain itu, perlu diwujudkan sistem pengesan khas imigresen dalam pasport pekerja asing yang masuk ke Malaysia.

“Pasport Malaysia yang tamat tempoh perlu diserahkan kembali kepada Jabatan Imigresen dan saya fikir perlu ada kad pengenalan khas bagi setiap pemegang pasport asing,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN