TELUK INTAN: Kanak-kanak lelaki yang parah dalam nahas yang meragut nyawa dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, di sini semalam, telah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, mangsa berusia tujuh tahun itu telah selesai menjalani pembedahan di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di hospital.
“Keadaan mangsa masih dipantau oleh pihak hospital,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang berlaku di Jalan Padang Tembak menghala ke Kampung Banjar, mengorbankan dua remaja perempuan di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Nur Dania Arissa Salim, 17, dan pembonceng, Nur Atikah Abdullah, 16.
Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Kereta tersebut kemudian melanggar motosikal dinaiki kedua-dua mangsa, sebuah lagi kereta yang berada di hadapan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berada di tepi jalan.
Berdasarkan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap pemandu kereta, didapati lelaki itu positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah. – UTUSAN










