Kerajaan perkenal PHSB pastikan kelestarian hutan

Kerajaan perkenal PHSB pastikan kelestarian hutan

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memperkenalkan pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) bagi memastikan hutan terutama di Sarawak diurus secara mampan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan turut memberi jaminan perlindungan dan pemeliharaan hutan serta perlindungan hak masyarakat setempat, khususnya penduduk asal dan komuniti di kawasan pedalaman Sarawak walaupun kerajaan giat membangunkan pembangunan serta pemasaran karbon.

Katanya, langkah tersebut penting memandangkan Sarawak adalah antara wilayah diliputi hutan luas dengan kekayaan biodiversiti sangat tinggi dan sehingga kini, litupannya dianggarkan sekitar 61.52 peratus daripada keluasan negeri.

“Di samping itu kerajaan juga mewujudkan Dasar Perhutanan Malaysia dan Pelan Strategik Perhutanan Sosial 2021–2025 dengan memberi penekanan kepada penglibatan aktif komuniti dalam pengurusan sumber hutan melalui program ekopelancongan, perhutanan tani dan penghasilan hasil hutan bukan kayu.

“Pendekatan ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan komuniti, malah memperkukuh peranan masyarakat sebagai rakan strategik dalam usaha pemuliharaan hutan, selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030.

“Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi menyokong usaha konservasi biodiversiti kerajaan negeri yang menyaksikan Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM22.04 juta tahun ini,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tuan Abun Sui Anyit mengenai langkah NRES melindungi kawasan hutan di Sarawak, selain usaha memastikan penduduk menikmati hasil di sebalik perdagangan kredit karbon negara.

Dalam pada itu, Arthur berkata, kementerian juga sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU RUPIN) untuk memperuntukkan mekanisme kawal selia bagi memastikan urusniaga karbon dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

Katanya, hasil perdagangan kredit karbon akan disalurkan ke Kumpulan Wang Perubahan Iklim yang ditubuhkan di bawah undang-undang berkenaan, bagi membiayai pelbagai inisiatif berkaitan perubahan iklim termasuk memperkasa komuniti rentan masyarakat tempatan.

Beliau dalam masa yang sama berkata, kementeriannya sedang membangunkan mekanisme kewangan inovatif di bawah strategi Pelaksanaan REDD+ (Mengurangkan Pelepasan daripada Penyahutanan dan Kemerosotan Hutan) Kebangsaan, iaitu kerangka kewangan REDD+ yang merangkumi dua instrumen utama, Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) dan Kredit Pengimbangan Karbon Hutan (FCO).

“Kedua-dua instrumen itu dibangunkan berasaskan Cancun Safeguards yang memberi penekanan kepada perlindungan sosial, alam sekitar dan tadbir urus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN