PETALING JAYA: Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Australia memperkukuh kerjasama pertahanan menerusi siri Latihan bersama Exercise KERIS STRIKE 31/2026 yang diadakan di Sabah.
Latihan selama 14 hari bermula 13 Julai lalu itu disertai anggota Rejimen Ke-6 Artileri Diraja (RAD) Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Batalion Pertama, Rejimen Artileri Medan Ke-160, Oklahoma National Guard dari Amerika Syarikat (AS) serta anggota Tentera Darat Australia.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata, sepanjang latihan, ketiga-tiga pasukan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan integrasi operasi artileri, memperkemaskan prosedur taktikal serta mengukuhkan keupayaan operasi bersama dalam persekitaran pelbagai negara.
“Selain itu, pelbagai latihan dilaksanakan termasuk tembakan artileri secara langsung, pertukaran kepakaran teknikal dan latihan berasaskan misi bagi meningkatkan kecekapan anggota dalam melaksanakan sokongan tembakan secara tepat dan berkesan.
“Latihan tersebut turut meningkatkan komunikasi antara pasukan, membina kepercayaan serta memperkukuh keupayaan anggota untuk beroperasi secara bersepadu dalam operasi bersama dan pelbagai negara,” katanya hari ini
Menurutnya, medan peperangan moden menuntut kepantasan, ketepatan dan koordinasi yang mantap, dengan artileri medan kekal menjadi elemen penting dalam menyokong operasi tempur serta membantu komander melaksanakan misi secara lebih berkesan.
Exercise KERIS STRIKE 31/2026 merupakan antara platform kerjasama pertahanan yang memperkukuh hubungan ketenteraan Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia, di samping meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi bagi menghadapi sebarang cabaran keselamatan di rantau Indo-Pasifik. – UTUSAN










