PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Sabah berkuat kuasa esok sehingga 16 November ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan perintah itu dibuat bagi menyekat penularan Covid-19 melibatkan seramai 1,820 tahanan dan 114 kakitangan pusat tahanan tersebut.
“Sehingga semalam, seramai 261 tahanan serta kakitangan telah disaring dan seramai 56 tahanan didapati positif Covid-19.
“Dengan pelaksanaan Temco ini semua aktiviti keluar masuk ke kawasan pusat tahanan serta lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Ismail Sabri turut memberitahu, Perintah Temco di Penjara Alor Setar ditamatkan selepas saringan Kementerian Kesihatan mendapati tiada lagi kes positif direkodkan dalam tempoh tujuh hari.
Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 485 individu kerana didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 480 daripadanya telah dikompaun manakala lima lagi direman.
Menurut beliau, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (162), penjarakan fizikal (123), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (79), aktiviti pusat hiburan (25), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (13) dan lain-lain kesalahan (83).
“Sebanyak 52,552 pemeriksaan dilaksanakan melalui Task Force Operasi Pematuhan melibatkan 3,963 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 17,752 anggota.
“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng juga telah berjaya menahan 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta berjaya merampas empat kenderaan darat melalui 298 sekatan jalan raya.
Beliau turut berkata, sehingga semalam, seramai 59,061 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,035 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 62 hotel dan 19 premis lain, manakala 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan dan 48,645 individu telah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, isu berkaitan individu tidak berdokumen di Pulau Omadal, Semporna, Sabah sehingga menyukarkan Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sewajarnya dalam membuat saringan Covid-19, akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.
Katanya, ini termasuk membincangkan soal pembukaan pusat jagaan kanak-kanak berikutan kekangan ibu bapa untuk meninggalkan anak-anak mereka ketika bekerja. – UTUSAN ONLINE










