KUALA LUMPUR: “Saya ikut landasan shariah, tapi kalau orang berfikir saya mengikut cara kafir, silakan.”
Demikian penjelasan Vokalis Butterfingers, Emmett Roslan Ishak, 49, mengenai dakwaan pengabaian nafkah terhadap perkahwinannya terdahulu.
Emmet memaklumkan tiada pengabaian nafkah berlaku kerana dia telah melunaskan tanggungjawab mengikut undang-undang Islam.
“Penghujungnya saya berserah kepada Al-Muqsit (yang maha adil).
“Orang boleh berkata apa sahaja mengenai perceraian itu. Saya sudah lakukan yang sepatutnya, terserah kepada masyarakat untuk bercerita.
“Jadi tak perlu saya memanjangkan isu atau mengaibkan sesiapa. Saya pun sudah ‘move on’,” katanya.
Emmett berkata demikian selepas sidang media showcase sambutan ulang tahun tiga dekad 1.2 Miligrams di ibu negara, petang tadi.
Emmett mengulas dakwaan pengabaian nafkah membabitkan bekas isteri dan dua anaknya yang kita menetap di Kanada.
Emmett dalam pada itu berlapang dada dan terbuka menerima apabila hal peribadinya diperkatakan netizen.
“Saya tiada respon tentang itu. Saya menyerahkan kepada masyarakat untuk bercakap tentang perhubungan saya yang dahulu.
“Sebab itu apabila ditanya tentang perkara ini, saya bersedia dengan kenyataan sendiri.
“Saya tak mahu mengulas mengenainya, ianya hal peribadi. Kedua perkara ini tidak ada kena mengena dengan muzik saya.
“Ketiga, orang boleh bercakap dan berpandangan apa sahaja tentangnya. Pada akhirnya, anda perlu mengetahui cerita sebenar untuk berkata-kata,” ujarnya.
Jelas Emmett lagi, dia sudah matang dan bersedia bergerak ke fasa seterusnya selepas melalui liku kehidupan yang panjang.
“Tentang perhubungan, saya melalui banyak pengalaman. Ia bukan proses yang mudah dan memakan masa. Saya juga melakukan banyak kesilapan.
“Tapi, itulah pengakhirannya. Di penghujungnya ada hikmah semua ini. Ia mengambil masa, melalui fasa tersakiti dan maju ke depan. Kita hidup di masa sekarang, yang lalu biarkan berlalu,” katanya lagi.
Sebelum ini Emmet pernah mendirikan rumah tangga dengan wartawan hiburan sebuah akhbar berbahasa Inggeris dan dikurniakan dua cahaya mata.
Begitupun, pasangan terbabit menyimpan kemas kehidupan peribadi mereka bersama anak-anak.
Dia juga pernah berhijrah ke Kanada bersama keluarganya pada 2003 selama enam tahun bagi menyambung pengajian sebelum kembali ke Malaysia.
Selepas bercerai wanita tersebut, beliau sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya, Nadira Hanum Akbar Shah 1 Disember 2024. – UTUSAN










