KOTA BHARU: Penganjur program hiburan disko retro dan hippie ala 60-an serta 70-an yang tular di media sosial berdepan hukuman denda sehingga RM60,000 selepas didapati menganjurkan acara tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, selain itu penganjur turut berdepan hukuman penjara lapan tahun jika disabitkan kesalahan.
Katanya, hasil siasatan mendapati penganjur hiburan tersebut tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
“Penganjur melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.
“Mereka (penganjur) turut melanggar Seksyen 20(1)(a) enakmen sama kerana menjual tiket hiburan tanpa lesen yang sah, yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hilmi memberitahu, pemilik premis juga boleh dikenakan kompaun selain berdepan pembatalan lesen perniagaan kerana melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.
Katanya, beberapa notis kompaun telah dikeluarkan kepada penganjur dan pemilik premis mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019.
Hilmi berkata, kerajaan negeri kekal konsisten memastikan adab, budaya dan akhlak masyarakat, khususnya generasi muda, terus dipelihara.
“Kerajaan negeri juga bersedia membimbing mana-mana pihak yang ingin menganjurkan acara hiburan supaya mematuhi semua peraturan serta garis panduan hiburan yang diterima pakai oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh Kelantan,” ujarnya.
Terdahulu tular satu video berdurasi 40 saat semalam yang memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program hiburan bertemakan disko retro dan hippie dipercayai berlangsung di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan.
Susulan itu, Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa MPKB-BRI telah menjalankan operasi dan siasatan petang tadi dengan mengambil keterangan daripada saksi serta pihak-pihak berkaitan.










