HARAPAN saya selepas pandemik ini berakhir dan selepas perniagaan saya berjaya, insya-Allah saya akan kembali mencari kerja sebagai pilot.” Itu ungkapan Kapten Azrin Mohamad Zawawi bekas juruterbang dengan syarikat penerbangan terkemuka negara ini yang kini mengusahakan gerai menjual laksa dan mi kari di Subang.
Kesan daripada pandemik Covid-19 tidak mengenal mangsa. Siapa sangka Azrin, 44, yang sudah 20 tahun berpengalaman sebagai juruterbang hilang pekerjaan itu dalam sekelip mata.
Namun itu bukan alasan untuk meratap merayu menangisi nasib. Sebab itu kata Azrin, apabila tahu khidmatnya akan ditamatkan pada 30 Oktober lalu, beliau dan isteri mengambil inisiatif membuka gerai tersebut pada 23 Oktober.
Selain Azrin ada ramai lagi rakyat negara ini yang terjejas akibat Covid-19 yang bangkit semula dengan cara tersendiri untuk meneruskan kehidupan.
Jika kita memandu kereta dan berhenti di lampu isyarat lihatlah kiri kanan, daripada 10 buah motosikal yang kita nampak, mungkin lima atau enam daripadanya adalah penunggang Food Panda atau Grab Food. Mereka ini latar belakangnya pelbagai. Ada bekas eksekutif syarikat swasta, ada graduan universiti, bekas wartawan dan sebagainya.
Walaupun ada pelbagai insentif dan pakej bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan, tidak semua yang kehidupan mereka terjejas akibat Covid-19 ini mendapat manfaatnya. Begitu juga dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 6 November lalu, yang merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara. Bukan semua rakyat mendapat habuannya. Ada yang tercicir dan ada yang langsung tidak kena tempiasnya.
Ramai yang merungut tidak puas hati mengkritik serta menghamun kerajaan. Tetapi majoriti rakyat Malaysia yang terjejas itu menerima keadaan yang berlaku itu seadanya dan meneruskan kehidupan dengan mencari ikhtiar baharu mengikut cara mereka sehari.
Pada masa ini, ada berjuta umat negara yang seperti Kapten Azrin. Pada mereka tidak ada masa untuk duduk merungut kerana hidup mesti diteruskan. Mereka ini adalah rakyat yang mempunyai daya tahan tinggi yang tidak bergantung hidup kepada bantuan semata-mata.
Bukannya mereka tidak perlukan bantuan tersebut, tetapi sementara menunggu pelbagai insentif yang diumumkan kerajaan itu sampai, sesuatu perlu dilakukan supaya hidup dapat diteruskan dan anak-anak dapat makan.
Birokrasi berliku
Apa yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 itu memang nampak cantik dan sempurna. Tetapi untuk ia sampai dan dirasai akar umbi tentu mengambil masa lama kerana perlu melalui pelbagai saluran birokrasi yang berliku-liku.
Itu belum diambil kira kumpulan-kumpulan yang tercicir daripada senarai penerima insentif dan imbuhan dalam belanjawan tersebut. Golongan pengusaha bas misalnya, awal-awal lagi sudah bersuara bahawa mereka kini menanggung beban hutang sekitar RM3 bilion kerana apabila ada sekatan perjalanan siapa yang mahu menggunakan khidmat bas mereka? Apabila bas tidak berjalan mana mereka mahu mencari pendapatan untuk membayar hutang-hutang bas tersebut?
Ya, dalam Belanjawan 2021 memang kerajaan ada peruntukan insentif untuk mereka beli bas baharu. Tetapi jika penumpang tidak ada, dan hutang bas sedia ada pun tidak mampu bayar, maka apa relevannya insentif tersebut.
Begitu juga dengan para pemandu teksi yang pendapatan mereka bergantung kepada pergerakan manusia di muka bumi Malaysia. Jika tidak ada manusia yang bergerak menggunakan perkhidmatan mereka maka mereka tidak ada pendapatan. Apabila tidak ada pendapatan apa yang mereka mahu makan?
Sebab itu ada pemandu teksi yang membuat penbandingan hidup mereka dengan nelayan. Kata mereka, nelayan dapat insentif RM300, sedangkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini jika nelayan itu ke laut ikan tetap setia menanti mereka. Akan ada hasilnya. Tetapi bagi pemandu teksi, PKPB bermakna tidak ada penumpang dan tidak ada hasil dan mereka tidak mendapat apa-apa insentif.
Permudahkan urusan
Apa pun kenyataan biar pahit sekali pun perlu ditelan. Ketika ekonomi seluruh dunia terjejas akibat pandemik Covid-19 ini, kerajaan juga mempunyai sumber yang terhad. Ia tidak dapat memenuhi keperluan dan memuaskan hati semua pihak. Pasti ada kekurangan di sana-sini, dan kekurangan itu kalau boleh biarlah diatasi segera.
Sikap yang diambil oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang mengisytihar Wilayah Persekutuan sebagai wilayah berniaga merupakan antara contoh yang boleh diambil oleh kerajaan. Jika tidak boleh menghulurkan bantuan, maka bantulah mempermudahkan apa juga urusan rakyat termasuk mempermudahkan usaha mereka untuk berniaga misalnya.
Rakyat pula jangan ambil kesempatan daripada kelonggaran ini dengan membuka gerai sesuka hati hingga mengganggu lalu lintas dan menjejaskan ketenteraman orang lain. Kebersihan perlu dijaga. Jangan biar sampah merata-rata atau buang ke dalam longkang. Selepas berniaga kemas lah gerai masing-masing jangan ditinggal begitu sahaja hingga mencemarkan pemandangan.
Dalam masa-masa sukar ini ramai rakyat Malaysia yang bangkit dengan cara sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa. Kita tabik kepada mereka kerana mempunyai daya tahan cukup tinggi dan tidak mudah berputus asa atau mengalah kepada keadaan.
Kisah bekas ketua pramugari, Nur Shareen Mohd. Zaini yang menjalankan perniagaan nasi kukus ayam berempah bersama ibu dan adiknya di Taman Lavender Heights, Senawang antara yang mampu memberi inspirasi.
Begitu juga dengan anak muda di Pontian, Muhammad Syazwan Zainal Abidin yang mengusahakan tanaman cendawan sebagai alternatif bagi mendapatkan pendapatan di masa-masa getir. Di Pulau Pinang, bekas pekerja kilang di Bayan Lepas, Siti Zuraini Azmi sanggup menjadi penghantar makanan sebagai penyambung sumber rezeki. Begitu juga dengan Noor Iylia Zainal, 33, dan ibu kepada enam cahaya mata, Nor Hidayah Ismail, 35, yang turut menjadi penghantar makanan sejak April lalu selepas kehilangan pekerjaan disebabkan PKP.
Ketika ramai yang mengharapkan bantuan, mereka berikhtiar untuk mencari rezeki yang boleh menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak selain membantu suami menguruskan kewangan keluarga. Ini merupakan antara cerita ketabahan rakyat Malaysia dalam mengharungi kesukaran hidup ketika ini. Pendapat mereka mungkin tidak sama seperti zaman senang dahulu, tapi sekurang-kurangnya mereka bangkit untuk meneruskan kehidupan tanpa mengharapkan bantuan.
Kita tabik kepada golongan ini yang jumlah mereka jauh lebih ramai daripada yang hanya suka duduk merungut sambil mengharapkan bantuan semata-mata.










