KUALA LUMPUR: Sanggup menjual bayi antara harga RM22,000 hingga RM30,000 akibat tamak serta terdesak mendapatkan wang.
Itu antara kegiatan yang dilakukan segelintir ibu bapa yang terlibat dalam sindiket penjualan bayi.
Lebih mengejutkan, mereka juga bersekongkol dengan doktor, penjawat awam serta individu lain bagi mengatur ‘jual beli’ tersebut kelihatan seperti didokumentasi mengikut cara yang betul.
Malah, terdapat pusat ‘jagaan’ yang sepatutnya memberi perlindungan kepada wanita atau gadis yang mengandung anak luar nikah turut mengaut keuntungan dengan kegiatan itu.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah (D3) ATIPSOM, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, itu antara sindiket yang berjaya dibongkar pihaknya sejak tahun 2017 hingga September lalu.
Katanya, setakat ini, sebanyak sembilan kes dicatatkan melibatkan sindiket penjualan bayi di negara ini dalam tempoh terbabit.
“Siasatan mendapati kebanyakan kes dilaporkan melibatkan pakar perubatan, ejen atau orang tengah malah ibu bapa bayi itu juga bersubahat kerana terdesak mendapatkan wang.
“Ini termasuk sindiket yang dibongkar polis di Arau, Perlis, Mei lalu apabila 11 individu ditahan termasuk doktor pakar sakit puan dan ibu bapa bayi selepas dipercayai terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan bayi yang dijual pada harga antara RM22,000 hingga RM30,000 kepada keluarga baharunya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Bagaimanapun, menurut Fadil, trend kes dilihat menurun apabila sebanyak empat kes dicatatkan pada 2018, tiga (2019) dan dua kes dicatatkan sehingga September lalu.
Jelasnya, pihak beliau juga mendapati terdapat juga kegiatan pemerdagangan bayi dengan menjadikan rumah-rumah jagaan gadis terlanjur bagi mendapatkan ‘bekalan’ bayi untuk dijual.
Jelasnya, modus operandi dengan menawarkan perlindungan bagi gadis-gadis yang mengandung luar nikah sehingga bersalin sebelum mereka perlu menyerahkan bayi kepada pusat jagaan tersebut yang sudah mempunyai pembeli.
“Ini susulan penahanan seorang wanita di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Mac tahun lalu.
“Walaupun kes di negara ini dalam keadaan terkawal namun kita sentiasa melakukan pemantauan terhadap sebarang sindiket penjualan bayi di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










