KUALA LUMPUR: Muzik sekali lagi menjadi jambatan yang menyatukan Malaysia dan Indonesia apabila duo hip hop tempatan, Kmy Kmo & Luca Sickta bergabung dengan penyanyi sinden Indonesia, Niken Salindry menerusi single terbaharu berjudul Tinggi.
Kolaborasi antarabangsa pertama itu menyaksikan gabungan unik rap Melayu dengan alunan vokal tradisional Jawa, sekali gus mengetengahkan kekayaan seni dan budaya Nusantara dalam sebuah karya muzik moden.
Tinggi merupakan antara lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu Kmy Kmo & Luca Sickta berjudul Gong yang mengangkat tema warisan, martabat, kenangan dan budi dalam dunia moden yang semakin jauh daripada akar budaya.
Menerusi lirik sarat makna serta alunan sinden yang menjadi identiti utama lagu tersebut, Tinggi membawa mesej bahawa sejarah, nilai dan kebaikan seseorang akan terus dikenang meskipun kuasa, pangkat serta masa telah berlalu.
Menurut Kmy Kmo & Luca Sickta yang juga komposer lagu berkenaan, Tinggi dihasilkan bukan semata-mata sebagai sebuah karya hiburan, sebaliknya bertujuan mengajak generasi muda kembali menghargai identiti dan warisan budaya.
“Kami percaya muzik ialah bahasa yang mampu menyatukan. Melalui Tinggi, kami ingin menyampaikan bahawa kebesaran seseorang tidak diukur melalui kuasa atau harta, sebaliknya melalui budi, nilai dan warisan yang ditinggalkan.
“Kolaborasi ini juga membuktikan bahawa budaya Nusantara mampu terus berkembang tanpa kehilangan jati diri,” katanya.


Sementara itu, Niken menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai peluang istimewa untuk membawa seni sinden ke pentas lebih luas, selain memperkenalkan kekayaan budaya Jawa kepada generasi baharu.
“Saya terus tertarik apabila mendengar konsep lagu ini. Mesej yang dibawakan sangat kuat dan selari dengan semangat memelihara budaya.
“Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada karya yang mempertemukan muzik moden dengan tradisi, sekali gus mengeratkan hubungan budaya antara Indonesia dan Malaysia,” katanya.
Tidak hanya menampilkan kekuatan dari segi muzik dan mesej, video muzik Tinggi turut menjadi antara tarikan utama projek berkenaan apabila menjalani penggambaran berskala besar di Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Jakarta.
Produksi video muzik itu melibatkan puluhan penari, tata artistik berskala besar, pelbagai prop budaya serta busana tradisional yang diinspirasikan daripada kekayaan warisan Malaysia dan Indonesia.
Keseluruhan elemen visual dirancang bagi menggambarkan semangat serumpun Nusantara dan hubungan erat dua negara yang berkongsi akar sejarah serta budaya.
Gabungan elemen tradisional dengan muzik moden itu sekali gus memperlihatkan bagaimana warisan budaya mampu diketengahkan kepada generasi masa kini tanpa kehilangan identiti asalnya.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu, Tinggi menjadi simbol persahabatan Malaysia dan Indonesia, penghormatan terhadap budaya serta harapan agar generasi masa kini terus memelihara warisan Nusantara menerusi bahasa, muzik dan tradisi.









