Sidang Parlimen: Tiada usul undi tidak percaya - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen: Tiada usul undi tidak percaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya tidak berdepan dengan situasi ‘bagai telur di hujung tanduk’ dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini kerana 25 usul undi tidak percaya terhadapnya hanya berada pada kedudukan ke-19 dan ke atas dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dikeluarkan Parlimen yang diperoleh Utusan Malaysia semalam, hari pertama mesyuarat ketiga menyaksikan urusan kerajaan membabitkan bacaan kali pertama dan kedua rang undang-undang (RUU) tetap diberikan keutamaan oleh Yang Dipertua, Datuk Azhar Azizan Harun.

RUU berkenaan adalah RUU Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020, RUU Koperasi (Pindaan) 2020, RUU Racun (Pindaan) 2019 dan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Ini bermakna, usul di bawah Peraturan 90 (2) yang sudahpun dikemukakan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik untuk menangguhkan urusan kerajaan dan memberi laluan kepada usul undi tidak percaya dibaca dan diputuskan terlebih dahulu, nampaknya diketepikan Azhar.

Semakan yang dilakukan akhbar ini juga mendapati tiada usul berkenaan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul.

Namun, apa yang tertera daripada Maszlee hanyalah usul menggesa kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dan meneliti punca kepada masalah perpaduan yang rapuh dalam kalangan warga pendidik, pelajar dan mahasiswa.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan urusan penting kerajaan iaitu Belanjawan 2021 masih boleh berjalan seperti dijadualkan meskipun Azhar mempertimbangkan untuk membawa naik 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjelaskan, tindakan yang boleh dilakukan untuk merealisasikannya adalah dengan membawa naik terlebih dahulu usul di bawah Peraturan 90 (2) yang sudahpun dikemukakan oleh Maszlee.  

Dalam pada itu, usul undi tidak percaya daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah dihantar melalui surat bertarikh 25 September 2020 juga tidak kelihatan.

Situasi itu menimbulkan persoalan, mungkinkah Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu membuat keputusan menarik semula usulnya selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi parti kembali menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Atau pun ia memberi gambaran bahawa Tengku Razaleigh mungkin akan dilantik untuk mengisi portfolio Timbalan Perdana Menteri seperti spekulasi yang bertiup sejak kebelakangan ini.

Selain itu, terdapat dua usul undi percaya terhadap Muhyiddin dikemukakan oleh Pas dan Barisan Nasional (BN) iaitu datang daripada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

Kedua-dua usul berkenaan berada di kedudukan ke-20 dan ke-46.

Dalam pada itu, di sebuah hotel di ibu negara kelmarin, Muhyiddin bersama pemimpin PN mengadakan mesyuarat berhubung sidang Dewan Rakyat selain memberi tumpuan mengenai Belanjawan 2021.

Antara pemimpin yang hadir adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN