KLUANG: Barisan Nasional (BN) yakin dapat mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Ia selepas melihat momentum sokongan rakyat terhadap parti itu terus meningkat sepanjang tempoh berkempen dilaksanakan.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keyakinan itu berasaskan sambutan menggalakkan diterima daripada rakyat di seluruh negeri sehingga mewujudkan apa yang disifatkan beliau sebagai ‘gelombang biru’.
Katanya, suasana kempen yang kini memasuki hari ke-11 memberi petanda positif kepada BN untuk terus memperoleh mandat mentadbir Johor.
“Baki dua hari terakhir sebelum pengundian perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh jentera parti bagi memperkukuh gerak kerja turun padang dan mendekati seramai mungkin pengundi.
“Usaha bersemuka dengan rakyat perlu dipergiat kerana pendekatan itu diyakini mampu mengukuhkan lagi keyakinan pengundi terhadap tawaran dan hala tuju yang dibawa BN.
“Secara keseluruhannya saya melihat mood dan suasana di Johor ketika ini cukup positif. Kita dapat rasakan satu gelombang biru yang semakin membara. Insya-Allah, kita akan menang di Johor,” katanya sewaktu berucap pada Program Kenduri Sekampung di Kampung Perak, Simpang Renggam, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap turut menetapkan sasaran meningkatkan majoriti kemenangan di kerusi berkenaan kepada sekurang-kurangnya 8,000 undi. – UTUSAN










