PETALING JAYA: Tiga lelaki cedera dalam satu insiden pergaduhan di sebuah kafe di Bandar Sunway, Subang Jaya awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan sekumpulan lelaki di lokasi sebelum insiden berlaku.
“Akibat kejadian itu, tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di hospital.
“Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, merakam percakapan saksi-saksi serta memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, usaha mengesan dan menahan suspek yang terbabit sedang dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau apa-apa objek yang digunakan sebagai senjata,” katanya. – UTUSAN










