SHAH ALAM: Dua dipercayai terkulai dan salah seorang dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki dekat Jalan Mandolin 33/5 Taman Alam Megah di sini, baru-baru ini.
Insiden tersebut tular menerusi perkongsian video termasuk daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran dalam media sosial yang dilihat memaparkan kejadian serangan dan tindakan melanggar individu dengan kereta.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, beliau mengesahkan kejadian tersebut berlaku pada pukul 2 petang di jalan raya kawasan berkenaan.
Katanya, maklumat pertama kejadian tersebut dibuat oleh seorang anggota Polis yang bertugas di Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang apabila menerima panggilan dari orang awam mengenai satu pergaduhan yang melibatkan sekumpulan lelaki.
“Semakan rakaman cctv juga mendapati bahawa terdapat sekumpulan lelaki bergaduh sehingga berlaku tetakan diantara mereka. Terdapat sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna biru melanggar salah seorang daripada suspek sehingga menyebabkan kematian ditempat kejadian.
“Kes disalurkan kepada Pasukan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Shah Alam bagi mengesan suspek- suspek yang terlibat dalam kejadian ini. (Kemudian) Tangkapan ke atas seorang lelaki dilakukan oleh sepasukan Polis dari JSJ IPD Shah Alam,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Tambahnya, kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.
“Polis juga meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkait kejadian tersebut atau mana- mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 0128308706 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN











