Empat penjawat awam, pemilik syarikat direman bantu siasatan rasuah RM25,000 - Utusan Malaysia

Empat penjawat awam, pemilik syarikat direman bantu siasatan rasuah RM25,000

ANTARA suspek yang dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini, bagi mendapatkan permohonan reman. -UTUSAN/SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Empat penjawat awam sebuah institusi pendidikan di negeri ini bersama seorang pemilik syarikat direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM25,000.

Perintah reman selama empat hari itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Amiruldin Roslan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar, di sini, hari ini.

Kelima-lima individu tersebut ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan bagi membantu sebuah syarikat pembinaan, pembekalan makanan dan perkhidmatan penyelenggaraan mendapatkan kerja-kerja perolehan kerajaan di institusi pendidikan tersebut yang bernilai kira-kira RM100,000.

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan antara pukul 2 hingga 4 petang semalam semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.

“Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2024.

“Keempat-empat suspek yang merupakan penjawat awam dipercayai telah menerima wang suapan daripada pemilik syarikat bernilai antara RM2,000 hingga RM10,000 bagi setiap projek dengan keseluruhan projek yang diperolehi adalah sebanyak 16,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, pihaknya tekad menoktahkan budaya salah guna kuasa dan secara tidak langsung telah melumpuhkan kartel penganugerahan kerja-kerja kepada syarikat kontraktor yang memonopoli di institusi pendidikan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN