KUALA LUMPUR: Sabah memerlukan sekurang-kurangnya RM3 bilion hingga RM4 bilion peruntukan dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan negeri itu mendapat pembangunan yang setimpal dengan negeri-negeri lain.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan itu tidak mencakupi keseluruhan sektor, sebaliknya hanya tertumpu kepada aspek pembangunan.
“Kita mempunyai beberapa sektor yang harus dijadikan keutamaan tetapi dalam kita berdepan dengan masalah ekonomi saya tidak boleh memperincikan berapa jumlah yang diperlukan tetapi biasanya adalah dalam kadar ini untuk pembangunan di negeri.
“Bantuan lain khusus untuk peniaga kecil, usahawan dan sebagainya tidak termasuk. Sebab itulah kita perlu melihat lebih mendalam apa yang terkandung dalam Belanjawan 2021 hari ini,” katanya melalui aplikasi Zoom bersama Utusan Malaysia semalam.
Beliau ditanya peruntukan yang diharapkan untuk Sabah dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang merujuk kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 mendedahkan Sabah bertahan sebagai negeri paling miskin di negara ini dengan 19.57 peratus berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional diikuti Kelantan dan Sarawak walhal hakikatnya, Sabah kaya dengan hasil minyak dan sumber asli yang lain.
Ditanya sama ada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu bersetuju untuk semua ahli Parlimen diberikan peruntukan yang sama dalam belanjawan kali ini, katanya, peruntukan diperoleh ahli Parlimen bukan ukuran sebaliknya harus melihat kepada keperluan rakyat dan negara.
Jelasnya, semua pihak harus mempunyai perancangan rapi dengan menyorot kepada beberapa perancangan yang dirangka sebelum ini seperti Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11.
“Kalau berpegang pada rakyat maka belanjawan hari ini perlu dilihat bukannya dari aspek jika dia (ahli Parlimen) sokong kerajaan maka kita berikan peruntukan lebih, jika tidak sokong kita beri sedikit.
“Kita tahu negeri ini berapa peruntukan yang diperlukan dan kita akan selaraskan keperluan mengikut kemampuan negara. Jangan sampai belanjakan satu kawasan sampai ada tiga lapangan terbang atau beberapa hospital,” katanya. – UTUSAN ONLINE










