PETALING JAYA: Pelakon, Azar Azmi enggan mengulas mengenai keadaan suaminya, Mohd Apri Hazreen Sapri yang kini berdepan pertuduhan berkaitan kes penipuan membabitkan tawaran darjah kebesaran bergelar ‘Datuk’.
Menurut Azar atau Siti Azar Ameerah Azmi, 37, keputusan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan dibuat selepas mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses perundangan yang sedang berlangsung.
“Bab itu saya tak boleh cakap apa-apa. Sebelum saya hadir ke mana-mana acara atau berjumpa sesiapa, saya sendiri mengambil inisiatif menghubungi pihak tertentu untuk bertanya sama ada soalan seperti ini boleh dijawab atau tidak.
“Kita serahkan perkara ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana kes ini masih berjalan. Itu sahaja yang Azar boleh katakan,” katanya.
Azar ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Astro Fandom di Hextar World, Empire City, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, pelakon drama Nur 2 itu turut menafikan dakwaan kononnya dia sedang bertungkus-lumus mengumpul wang bagi membebaskan suaminya.
“Kenyataan itu tidak pernah Azar keluarkan. Fokus Azar sekarang adalah mencari rezeki untuk menyara serta membesarkan anak-anak dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Azar yang kembali aktif menerusi drama Bulan Henti Bicara meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan untuk terus berkarya dalam industri seni.
Menurutnya, walaupun agak kekok selepas lama tidak berada di lokasi penggambaran, dia berterima kasih kepada pengarah, Eyra Rahman yang banyak membimbingnya sepanjang proses penggambaran.
“Saya memang gemuruh, tetapi pada masa sama bersyukur kerana masih ada ruang dalam industri. Saya tidak sangka masih diterima kerana sebelum ini saya sering berfikir orang sudah tidak suka atau membenci saya.
“Walaupun berasa kekok, pengarah banyak membantu mengasah semula bakat yang ada. Buat masa ini, Azar hanya mahu fokus satu demi satu tawaran supaya semuanya dapat diuruskan dengan baik,” katanya.
Azar turut bersyukur kerana mempunyai pengurus yang banyak membantunya menguruskan kerjaya dan urusan harian.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Mohd Apri Hazreen didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakan mangsa membuat pembayaran berjumlah RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun bagi mendapatkan tanah kurniaan Kerajaan Negeri Selangor yang sebenarnya tidak wujud.
Mangsa didakwa tidak akan membuat pembayaran tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk, yang didakwa tidak wujud. -UTUSAN










