SEREMBAN: Sejumlah rokok dan minuman keras seludup serta pelbagai barangan lain dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai sebanyak RM2.56 juta dirampas menerusi dua serbuan di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur, pada 26 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan Jamal Paiman berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai jenama rokok, minuman keras, bir, barangan elektrik serta sebuah mesin pembungkusan.
“Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 3 petang, sepasukan anggota Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri menahan sebuah van di lorong belakang sebuah bangunan kedai di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 10,000 peket bersamaan 200,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan import. Nilai rampasan rokok bersama van berkenaan dianggarkan RM36,000, manakala duti dan cukai terlibat berjumlah RM138,000,” katanya di Pejabat Kastam Seremban 2, di sini, hari ini.
Jamal berkata, hasil serbuan tersebut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang merupakan pemandu van berkenaan bagi membantu siasatan.
Selain itu, beliau berkata dalam serbuan kedua kira-kira pukul 4 petang di sebuah premis di kawasan sama, pihaknya merampas 2,808,200 batang rokok pelbagai jenama, 1,370 botol minuman keras dan 4,824 tin bir.
“Rampasan itu turut membabitkan 221 unit barangan elektrik pelbagai jenis serta sebuah mesin pembungkusan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti membungkus semula rokok.
“Nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan kedua dianggarkan RM323,271.28, manakala duti dan cukai berjumlah RM2,066,512.69,” katanya.
Jamal berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan melabel dan membungkus semula rokok yang telah tamat tempoh bagi mengaburi status sebenar produk sebelum diedarkan ke pasaran tempatan khususnya di kawasan Lembah Klang, Selangor.
Katanya, rokok berkenaan dipercayai dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran bagi menarik minat pengguna selain memperoleh keuntungan secara tidak sah. -UTUSAN











