SINGAPURA: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) meningkat hampir tiga peratus pada awal dagangan hari ini, meneruskan kenaikan pada sesi sebelumnya selepas tentera AS melancarkan beberapa siri serangan ke atas Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan gencatan senjata rapuh semakin goyah.
Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas tiga kapal komersial yang sedang melalui Selat Hormuz kelmarin.
Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI), meningkat sebanyak AS$1.95 (RM7.95) atau 2.8 peratus kepada AS$72.39 (RM295.46) setong setakat 10.15 malam waktu tempatan.
WTI ditutup 2.8 peratus lebih tinggi pada Selasa sebelum meneruskan kenaikan dalam dagangan selepas penutupan pasaran, susulan keputusan AS menarik balik lesen am yang sebelum ini membenarkan penjualan minyak mentah Iran berikutan serangan Teheran terhadap kapal komersial.
Qatar menuduh Iran bertanggungjawab menyerang kapal berkenaan, termasuk kapal tangki gas asli cecair (LNG) miliknya, Al Rekayyat, yang dilaporkan terkena seragan dron sehingga mencetuskan kebakaran di bilik enjin. Semua anak kapal dilaporkan selamat dan dipindahkan.
Sementara itu, sebuah kapal tangki minyak mentah berbendera Arab Saudi, dipercayai ialah kapal tangki besar Wedyan, turut dilaporkan mengalami kerosakan di perairan Oman, menurut sumber keselamatan maritim. Punca kejadian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.
Perkembangan itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan terhadap pergerakan kapal tangki yang melalui Selat Hormuz- AGENSI










