Impak pemain gantian julang Switzerland

Impak pemain gantian julang Switzerland

PERCATURAN Murat Yakin berhsil membawa Switzerland ke suku akhir Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Kemasukan pemain gantian pada waktu yang tepat menjadi kunci kejayaan Switzerland menewaskan Colombia menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke suku akhir Piala Dunia 2026.

Jurulatih Switzerland, Murat Yakin berkata, percaturan untuk membawa masuk pemain gantian berjaya memberi kelebihan untuk pasukannya ketika penentuan sepakan penalti.

Penentuan penalti memihak kepada Switzerland apabila penjaga gol Gregor Kobel menyelamatkan sepakan Cucho Hernandez selepas Davinson Sanchez terlebih dahulu terkena palang buat Colombia.

Pemain gantian, Ruben Vargas kemudian menyempurnakan sepakan penalti kemenangan ketika Switzerland menang 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan.

Vargas adalah antara beberapa pemain gantian yang dimasukkan Yakin, termasuk penyerang Cedric Itten beberapa minit lebih awal dan Zeki Amdouni selepas itu, bagi menyegarkan jentera serangan Switzerland.

“Permulaan perlawanan agak sukar tetapi kami kekal fokus dan mempamerkan mentaliti yang hebat. Kemudian saya memasukkan pemain yang tepat pada waktu yang tepat,” kata Yakin.

Vargas yang dimasukkan pada masa kecederaan babak kedua mengekalkan ketenangannya apabila menyempurnakan sepakan penalti penentu kemenangan untuk memacu Switzerland ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1954.

Sebelum itu, seorang lagi pemain gantian, Amdouni turut tenang menyempurnakan sepakan penaltinya.

“Ia sesuatu yang menakjubkan melihat dia (Vargas) menyempurnakan sepakan itu dengan begitu yakin. Saya berasa sangat lega dan gembira.

“Kami semakin mendapat rentak dan perlu mengambil sedikit masa untuk menghadam apa yang berlaku.

“Ia satu kemenangan yang luar biasa. Kami perlu kekal sabar tetapi mempamerkan prestasi terbaik hari ini, jadi saya sangat gembira dengan pemain saya,” kata Yakin.

Vargas pula berkata, dia tidak gementar meskipun Switzerland tewas dalam penentuan penalti kepada England pada suku akhir Euro 2024 sebelum ini.

“Saya perlu yakin dengan diri sendiri. Saya berasa sangat tenang dan yakin. Ia sesuatu yang menakjubkan kerana dapat menjaringkan penalti kemenangan,” katanya.

Switzerland akan berdepan juara bertahan, Argentina pada aksi suku akhir selepas juara bertahan itu bangkit menewaskan Mesir 3-2 pada satu lagi perlawanan pusingan 16 terakhir awal pagi tadi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN