PENGUNDI perlu lebih berhati-hati dengan manifesto pilihan raya kerana belum tentu dapat dipenuhi sepenuhnya oleh ahli atau parti politik selepas memenangi pilihan raya kerana status atau kedudukan manifesto itu sendiri tidak terikat dengan undang-undang.
Sekiranya pihak yang mengeluarkan manifesto tidak melaksanakan sebarang janji yang diberikan, agak sukar untuk pihak pengundi menggunakan saluran undang-undang bagi memaksa ahli politik atau parti politik memenuhi semua janji yang telah mereka berikan dalam manifesto pilihan raya.
Pada 2013, pihak Mahkamah Rayuan memutuskan sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.
Berikutan keputusan itu, mahkamah membatalkan saman sivil difailkan 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang ketika itu pada pilihan raya umum 2008.
Kes mahkamah ini jelas menunjukkan seseorang yang tidak berpuas hati akibat daripada kegagalan ahli politik atau parti politik untuk memenuhi sesebuah manifesto tidak boleh menuntut janji yang termaktub dalam manifesto pilihan raya tersebut.
Dengan tiadanya undang-undang yang diikat terhadap manifesto pilihan raya, ahli politik atau parti politik akan mudah melemparkan apa-apa saja janji manis ketika menjalankan kempen pilihan raya tanpa perlu ada rasa tanggungjawab kepada orang ramai khususnya kepada pihak pengundi.
Sudah sampai masanya janji-janji manifesto ketika proses pilihan raya dipandang serius oleh mereka yang membuatnya dan dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan.
Tindakan melengah-lengahkan, tidak memenuhi atau menepati janji manifesto pilihan raya menunjukkan sikap tidak hormat terhadap pengundi yang memberi kepercayaan.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










