Penanam ketum mula rasa tempias - Utusan Malaysia

Penanam ketum mula rasa tempias

SEBUAH ladang ketum yang terdapat di Padang Terap, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lebih 500 pena­nam ketum di negeri ini mula merasai tempiasnya sejak pasukan keselamatan me­ningkatkan kawalan ke­se­lamatan men­cegah aktiviti pe­nyeludupan di sempa­dan negara.

Seorang pengusaha tanaman ketum yang mahu dikenali Ah Teng, 50, dari Padang Terap dekat sini berkata, pendapatannya merosot apabila ramai penyeludup tidak mengambil daun ketum yang siap dipetik dan dibungkus oleh pemborong untuk diseludup ke negara jiran.

Katanya, penyeludup mu­­­­lai takut menjalankan aktiviti tersebut.

“Saya tidak menolak kemungkinan kawalan ketat di sempadan mempunyai kaitan de­ngan kejadian anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera dan maut ditembak di Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam dekat sini pada Rabu dan Khamis lalu,” katanya di sini semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut akibat terkena dua das tembakan manakala rakannya, Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah terkena tembakan di perut ketika berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup ketika bertugas di Padang Besar.

Khamis lalu, seorang lagi anggota PGA, Lans Koperal Muhammad Amirul Amir, 26, cedera selepas terkena tembakan di Bukit Kayu Hitam.

Difahamkan, daerah di ne­geri ini yang banyak ditanam ketum ialah Padang Terap, Kubang Pasu, Baling, Sik dan Yan.

Sementara itu, seorang pemilik kebun ketum yang mahu dikenali Rashid, 55, berkata, dia mula menanam pokok tersebut kira-kira lima tahun lalu kerana pulangannya lumayan berban­ding harga getah yang rendah.

“Tapi permintaan daun ketum merosot sejak kebelakangan ini.

“Sebelum ini, pemborong memetik daun ketum antara 500 hingga 1,000 kilogram sehari, namun sekarang kerja-kerja memetik daun ketum dihentikan sementara waktu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penyeludup ketum yang enggan dikenali berkata, dia mahu lagi terlibat dalam aktiviti menyeludup daun ketum kerana penguatkuasaan yang semakin ketat di sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN