Dua dekad martabat tahfiz Pahang

Dua dekad martabat tahfiz Pahang

MOHAMMAD Firdaus Kamaruzaman al-hafiz (kiri) mengiringi Wan Rosdy Wan Ismail menyantuni pelajar Maahad Tahfiz Ar- Rushd Tanjung Gahai di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kejayaan Pahang muncul sebagai negeri peneraju pe­mer­kasaan pendidikan tahfiz di Malaysia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada dasar konsisten kerajaan negeri, sokongan institusi Kesultanan Pahang dan integriti akademik yang dibangunkan sejak lebih 20 tahun lalu.

Menerusi sistem pendidikan yang menyeluruh, ia bukan sahaja mengangkat martabat ins­titusi tahfiz, malah membuka laluan lebih luas kepada pelajar menghafaz al-Quran untuk me­lanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi serta menceburi pelbagai bidang profesio­nal.

Mudir Maahad Tahfiz Ar-Rushd, Tanjung Gahai di sini, Mohammad Firdaus Kamaruzaman al-hafiz berkata, usaha memartabatkan institusi tahfiz diperkasa di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi kerjasama strategik kerajaan negeri, Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan sokongan berterusan institusi Kesultanan Pahang.

Katanya, faktor terbesar yang melonjakkan pendidikan tahfiz di negeri ini adalah kejayaan menggabungkan sistem hafazan al-Quran dengan pendidikan arus perdana.

“Pembangunan ­pendidikan tahfiz di Pahang bukanlah sesuatu yang berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui proses panjang bermula lebih 20 tahun lalu. Pada peringkat awal, usaha ini dianggap sebagai satu eksperimen kerana belum ada jaminan model integrasi tahfiz dan akademik mampu berjaya.

“Namun selepas lebih dua dekad, hasilnya semakin jelas apabila pelajar tahfiz bukan sahaja mampu menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran, malah berpeluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau universiti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, doktor, jurutera, juruaudit, pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), pakar kewa­ngan serta pelbagai lagi jawatan dalam bidang profesional adalah antara yang disandang oleh bekas pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Ia kejayaan besar kepada Pahang dalam membangunkan ins­titusi tahfiz di negara ini. Malah lebih membanggakan ada antara pelajar terbabit bukan sahaja melanjutkan pengajian di luar negara, malah turut ditawarkan berkhidmat di sana termasuk sebagai doktor dan sebagainya.

Mohammad Firdaus ­berkata, model pendidikan yang dilak­sa­na­kan di negeri ini secara tidak langsung mengubah persepsi ma­syarakat terhadap institusi tahfiz yang sebelum ini sering dianggap hanya memberi tum­puan kepada pendidikan agama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN