KOTA BHARU: Pasukan peguam mewakili Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman memaklumkan, hasrat keluarga mahu mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kematian remaja itu menjadi sebab mereka berusaha membuka semula siasatan kes tersebut.
Wakil pasukan peguam, Liyana Marzuki berkata, walaupun laluan saman sivil disifatkan lebih mudah, perkara itu menjadi keutamaan buat keluarga remaja berkenaan.
“Mereka bukan sekadar mahukan pampasan tetapi mahu tahu siapa yang membunuh anak mereka. Pada awal tahun lalu keluarga Allahyarham menghubungi saya bagi mendapatkan bantuan melalui kempen media sosial.
“Namun saya memilih membantu melalui saluran undang-undang. Seramai 10 peguam daripada pelbagai kaum dan latar belakang bersetuju membantu keluarga secara probono (percuma) sebelum meneliti semua dokumen dan membincangkan semua pilihan yang ada,” katanya.
Liyana berkata, peringkat awal pasukan peguam turut mempertimbang untuk memfailkan permohonan mandamus iaitu perintah mahkamah yang mengarahkan pihak berkuasa awam melaksanakan tanggungjawab yang diwajibkan undang-undang, termasuk membuka semula siasatan.
Katanya, selepas meneliti kedudukan undang-undang, mereka mendapati permohonan semakan kehakiman seperti mandamus lazimnya perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan daripada keputusan yang hendak dicabar, sedangkan kes Allahyarham telah berlaku lebih sedekad lalu.
“Risikonya untuk gagal di mahkamah terlalu tinggi. Sebab itu kami mengambil keputusan tidak meneruskan laluan mandamus. Sebaliknya, kami memilih merayu dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Hasilnya, pihak berkuasa bersetuju membuka semula siasatan yang disifatkannya sebagai kemenangan pertama buat keluarga Allahyarham,” ujarnya.
Liyana mengakui siasatan semula berdepan pelbagai cabaran kerana kes itu berusia 13 tahun termasuk kemungkinan bukti fizikal rosak, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tercemar, tempat kejadian berubah serta ingatan saksi semakin pudar.
Katanya, selepas siasatan semula selesai, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan kumpulan peguam menghormati keputusan yang dibuat berdasarkan bukti yang ada selepas siasatan semula dijalankan.
“Perjuangan kami akan diteruskan menerusi tindakan sivil bagi menuntut tanggungjawab mana-mana pihak yang didakwa cuai, mengabaikan tanggungjawab atau menyebabkan keadilan menjadi semakin sukar dicapai,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris yang ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada 2013, menghormati keputusan AGC mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA.
Ruhani berkata, ia dibuat selepas siasatan tidak menemukan bukti yang membolehkan mana-mana individu didakwa berhubung kematian Allahyarham.
Pada 20 Ogos tahun lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013. – UTUSAN










