Bekas pengurus Petronas gagal runding gaji sebelum dedah maklumat sulit

Bekas pengurus Petronas gagal runding gaji sebelum dedah maklumat sulit

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus kanan Petronas, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni pernah menolak tawaran pekerjaan di Petroleum Sarawak Berhad (Petros) selepas gagal mendapatkan gaji yang diinginkan.

Menurut Penganalisis Sumber Manusia Petros, Nurul Qurratu Aini Laila Junaidi, 40, tawaran pekerjaan berkenaan ditolak beberapa bulan sebelum tertuduh didakwa cuba mendedahkan maklumat sulit berkaitan perniagaan dan struktur kewangan Petronas.

Menurut saksi pendakwaan ketiga itu, tertuduh ditawarkan jawatan Head Finance (Gas Aggregator & Sarawak Resource Management) (SRM) selepas panel temu duga memilihnya sebagai calon yang sesuai berdasarkan kriteria ditetapkan.

Panel temu duga itu terdiri daripada Ketua Pegawai Kewangan Petros, Mohd. Azha Abdul Jalil dan Naib Presiden Kanan SRM, Datuk Abang Arabi Abang Narudin.

Nurul Qurratu Aini berkata, tertuduh pada mulanya memohon jawatan Head Upstream Finance menerusi sistem dalam talian Petros pada 24 Januari 2024.

“Pada 27 Mac 2024, saya telah menghubungi Mohd. Khairul Akmal melalui e-mel dan telefon bagi menyampaikan tawaran pekerjaan bagi jawatan Head Finance dengan tawaran gaji sebanyak RM25,000 sebulan.

“Skop tugas jawatan tersebut adalah mengurus hal ehwal kewangan untuk SRM dan Gas Aggregator,” kata saksi itu.

Nurul Qurratu Aini berkata, tertuduh kemudian meminta gaji sebanyak RM37,000 sebulan, namun Petros kekal dengan tawaran asal dan tidak mengemukakan sebarang tawaran balas selepas rundingan itu ditolak.

“Tujuan Mohd. Khairul Akmal meminta kadar gaji yang lebih tinggi daripada tawaran asal yang dikemukakan Petros kerana pengalaman beliau dalam operasi minyak dan gas domestik serta antarabangsa.

“Selepas tawaran tersebut ditolak oleh beliau, pihak Petros tidak membuat sebarang tawaran balas,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan.

Menjawab soalan peguam Louis Liaw Vern Xien, Nurul Qurratu Aini berkata, Petros tidak pernah meminta calon temu duga untuk mendedahkan sebarang maklumat sulit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros di antara pukul 3.19 hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN