Pegawai syarikat telekomunikasi ditahan, beberapa lagi diburu - Utusan Malaysia

Pegawai syarikat telekomunikasi ditahan, beberapa lagi diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja membekal nombor telefon pelanggan untuk digunakan sindiket penipuan sistem per­khidmatan ringkas (SMS) tetapi turut disalurkan kepada sindiket kegiatan perjudian dalam talian.

Itu kegiatan yang dilakukan segelintir pegawai syarikat telekomunikasi yang sanggup ‘bersekongkol’ dengan sindiket berkenaan demi hidup mewah.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memberi­tahu, pegawai syarikat telekomunikasi tersebut dipercayai me­nerima bayaran mengikut jumlah data pelanggang yang dijual.

Kata sumber, sindiket judi dalam talian yang menerima nombor pelanggan tersebut kemudiannya dipercayai menghantar SMS berbentuk promosi yang menawarkan perkhidmatan mereka.

“Siasatan masih dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejauh mana penglibatan pegawai komunikasi tersebut dengan sindiket perjudian dalam talian ini.

“Selain yang direman hari ini (semalam), beberapa lagi pegawai telekomunikasi yang terlibat dalam aktiviti ini sedang diburu,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, pegawai syarikat telekomunikasi direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rasuah sindiket penipuan SMS.

Kelmarin tiga pengarah syarikat termasuk dua antaranya bergelar Datuk direman kelmarin bagi kes yang sama.

Tambah sumber, suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM300,000 yang di­terima secara berperingkat me­lalui akaun peribadinya daripada salah sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan senarai nombor telefon pelanggan pelan prabayar dari 2017 hingga sekarang.

“Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan content provider menerusi SMS dengan mengenakan bayaran langganan tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” ujarnya.

Terdahulu, suspek berumur 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya kira-kira pukul 9 malam kelmarin selepas hadir memberikan keterangan.

Permohonan reman dibenarkan dibuat terhadap suspek sehingga 15 November ini untuk siasatan lanjut di bawah Sek­syen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN