WASHINGTON: Microsoft pada Isnin mengumumkan bahawa syarikat itu akan menghapuskan kira-kira 4,800 jawatan, bersamaan sekitar dua peratus daripada tenaga kerja globalnya, sebagai langkah penjimatan kos yang akan membawa kepada penstrukturan semula secara menyeluruh.
Naib Presiden Eksekutif Microsoft, Amy Coleman dalam satu memorandum kepada kakitangan menjelaskan bahawa syarikat itu perlu memberi tumpuan kepada sektor yang mampu memberikan hasil terbaik kepada pelanggan di tengah-tengah fasa industri yang berubah pantas.
Langkah penjimatan drastik ini menyaksikan lebih 1,600 jawatan dalam Xbox akan dimansuhkan serta-merta.
Ketua Pegawai Eksekutif Xbox yang baharu dilantik, Asha Sharma menerusi nota kepada kakitangan menyatakan bahawa syarikat itu kini memulakan penstrukturan semula paling besar dalam sejarah Xbox.
Menurut Sharma dalam nota yang turut dikongsi di platform X, sebanyak 1,600 lagi peluang pekerjaan bakal terhapus dalam tempoh setahun akan datang.
Tambahnya, empat studio pembangunan permainan video di bawah Xbox iaitu Compulsion Games, Double Fine Productions, Ninja Theory dan Undead Lab akan dipisahkan daripada syarikat induk sebagai sebahagian daripada rancangan perubahan tersebut.
“Perubahan ini adalah demi masa depan Xbox yang lebih besar, bukannya mengecil. Sejarah membuktikan banyak syarikat tersilap anggap bahawa jangka hayat yang panjang jamin masa depan mereka. Kami tidak mahu menjadi seperti mereka,” kata Sharma.
Dalam pada itu, Coleman menegaskan perubahan keperluan pelanggan menjadi faktor utama kepada pengurangan kakitangan Microsoft secara menyeluruh.
“Sesebuah syarikat tidak boleh memilih sama ada industri mereka akan berubah atau tidak, mereka hanya boleh memilih sama ada mahu berubah seiring dengannya,” jelas beliau. – AGENSI










