KUALA LUMPUR: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjadi ‘pemudah cara’ kepada rakyat terutamanya kepada mereka yang mengusahakan peniagaan kecil-kecilan untuk bangkit daripada tekanan pandemik Covid-19.
Rata-rata yang kehilangan pekerjaan memilih menjaja di bahu-bahu jalan atau kawasan tumpuan awam sebagai ‘jalan pintas’ bagi meneruskan kehidupan.
Ini selaras dengan saranan penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali sebelum ini yang berpendapat, kerajaan tidak boleh menghalang aktiviti perniagaan kecil dan penjaja di bahu jalan untuk mengelakkan tekanan rakyat.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, kerenah birokrasi seperti pemohonan lesen dan tindakan menyita oleh PBT akan menambahkan tekanan hidup masyarakat.
Katanya, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengeluarkan satu ketetapan sementara untuk membenarkan perkara itu agar aktiviti ekonomi setempat dapat berjalan.
Jelasnya, secara tidak langsung ia membantu memulihkan semula ekonomi yang kian merudum ditambah pula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.
“Mereka yang hilang pekerjaan sekarang sangat ramai. Ramai yang pilih untuk menjaja untuk teruskan kehidupan.
“Bagi saya PBT kena bertolak-ansur. Selagi ia tidak menganggu lalu lintas, membahayakan kawasan sekitar maka janganlah ambil tindakan sita. Mudahkanlah pengeluaran lesen dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mulai 15 November ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman sesawang DBKL yang ditawarkan secara percuma. – UTUSAN ONLINE










