TUMPAT: Seorang mekanik ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol dan samun seorang remaja perempuan di Palekbang, dekat sini pada 17 Jun lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 24 tahun dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga menyebabkan kecederaan.
Terdahulu, suspek memakai baju ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Tumpat untuk permohonan reman pada pukul 10 pagi.
Sebelum ini media melaporkan, kegembiraan seorang remaja yang berjoging bersama adik lelakinya bertukar tragedi apabila mangsa dirogol sebelum dipukul dan dirompak seorang lelaki di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira.
Remaja berusia 15 tahun itu cedera pada bahagian muka, kepala dan badan ditemukan oleh orang awam di kawasan tersebut kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati, bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an mencari remaja itu pada pukul 10 pagi apabila anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar beriadah kira-kira pukul 7 pagi.
Katanya, mangsa ditemukan dalam keadaan separuh sedar selain mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, kepala dan badan. – UTUSAN










