Imej 'anti-sakau', usaha tegas Anwar banteras rasuah tawan hati pengundi Johor - Penganalisis

Imej ‘anti-sakau’, usaha tegas Anwar banteras rasuah tawan hati pengundi Johor – Penganalisis

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika tiba pada Program Kita Genk Madani X Anak Muda Bukit Batu di Taman Tropika, Kulai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dengan usaha luar biasa membanteras budaya rasuah dan anti-sakau selain memakmurkan ekonomi rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi faktor utama untuk Pakatan Harapan (PH) menawan hati pengundi Johor.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Noor Fareen Abdul Rahim berkata, rakyat Johor pastinya sudah melihat bukti pentadbiran Anwar Ibrahim yang bebas daripada elemen-elemen sakau dan terkesan secara positif daripada pertumbuhan ekonomi negeri yang kebanyakannya berpunca dari keberkesanan pentadbiran kerajaan Madani.

“Perdana Menteri telah berusaha sedaya upaya demi pembangunan Malaysia dan kesejahteraan rakyat. Setakat ini rakyat boleh menilai dengan mata hati segala usaha yang telah dijalankan oleh Anwar selama ini.

“Kerajaan Madani juga telah berusaha untuk membanteras budaya rasuah khususnya dalam kalangan kakitangan awam dan juga pihak yang berkepentingan.

“Rakyat sudah muak dengan segala korupsi yang berlaku dalam kalangan pemimpin tertinggi. Ini jelas menunjukkan bahawa usaha kerajaan sentiasa konsisten demi kebaikan rakyat sejagat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Anwar memberi amaran keras bahawa zaman ‘budaya sakau’ dan politik mengkayakan kroni sudah berakhir, sambil menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk melahirkan barisan kepimpinan yang bersih tanpa mengira latar belakang kaum.

Perdana Menteri berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini ialah ‘membersihkan’ sistem pentadbiran negara daripada amalan rasuah yang telah berakar umbi bagi memastikan setiap sen hasil bumi Malaysia dipulangkan sepenuhnya demi kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, Dr. Noor Fareen berkata, rakyat Johor boleh menilai sama ada segala usaha kerajaan membuahkan hasil atau tidak, bukan mainan kata-kata calon yang menentukan pilihan rakyat Johor.

Noor Fareen Abdul Rahim

Kata beliau, sekiranya mereka mendapat manfaat dari segala usaha kerajaan, mereka pasti membuat pilihan yang terbaik.

Jelasnya, dengan kecanggihan teknologi dan media massa, rakyat Johor boleh melihat dan mendengar segala kebenaran yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan.

“Pilihan calon yang betul memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk memilih kemenangan kepada pihak kerajaan. Calon yang mempunyai kredibiliti tinggi dan mempunyai pencapaian yang baik, sudah pasti akan menjadi pilihan rakyat Johor.

“Paling penting sekali, beliau seharusnya mempunyai imej yang bersih. Isu rasuah atau korupsi merupakan isu yang sangat berat. Rakyat Johor pasti memerlukan pemimpin yang amanah dan berintegriti,” katanya.

Demi kemenangan PH, katanya, Anwar perlu juga membuktikan segala usaha-usaha lain berjalan lancar terutama sekali isu kos sara hidup, keciciran pelajar serta peluang pekerjaan di Malaysia.

Katanya, selain isu melibatkan pendatang tanpa izin, Perdana Menteri memastikan bahawa usaha ini seiring dengan usaha beliau dalam menangani isu rasuah semata-mata.

“Oleh demikian, demi memastikan kemenangan PH di Johor, jentera parti perlu berusaha sejauh mungkin demi memastikan kelangsungan PH di Johor. Segalanya terletak di tangan para pengundi Johor,” katanya.

ends

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN