HAVANA: Cuba dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik menyeluruh di seluruh negara pada Isnin.
Ia berlaku ketika wilayah itu terus berdepan krisis tenaga parah yang diburukkan lagi oleh sekatan berterusan Amerika Syarikat (AS) terhadap penghantaran bahan api.
Kementerian Tenaga Cuba mengesahkan rangkaian grid elektrik nasional negara itu mengalami lumpuh sepenuhnya. Pihak pengendali grid memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menterinya, Vicente de la O Levy berkata, pihak berkuasa kini bertungkus-lumus memulihkan semula bekalan dan telah mengaktifkan mikrosistem kecemasan bagi menyalurkan tenaga kepada sektor perkhidmatan penting.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Cuba kerap kali berdepan insiden gangguan bekalan elektrik berskala besar ekoran infrastruktur janakuasa yang usang gagal menampung permintaan semasa.
Krisis tenaga di negara pulau itu semakin meruncing tahun ini. Ia berlaku apabila AS bertindak menekan pembekal-pembekal utama Cuba supaya menghentikan penghantaran minyak pada Mac lalu. Situasi itu menyaksikan Cuba mengalami sekurang-kurangnya dua kali gangguan bekalan elektrik menyeluruh dalam tempoh seminggu.
Menerusi hantaran di platform X pada Isnin, Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel membidas tindakan Washington yang menyekat import bahan api dan mendakwa AS sengaja cuba mencetuskan huru-hara domestic melalui sekatan yang melumpuhkan ekonomi.
Kekurangan bekalan tenaga ini telah melumpuhkan sektor perkhidmatan penting termasuk pendidikan, pengangkutan dan perubatan. – AGENSI










