“Pancing belum berbaloi untuk ikannya” - Utusan Malaysia

“Pancing belum berbaloi untuk ikannya”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TIDAK kurang ramai lagi bertanya saya semalam masih ada peluang lagikah mereka mahu merasa duit lump sum dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?
Khabar perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hampir sebulan lagi, hingga 6 Disember begitu menakutkan mereka.
Kelmarin, menteri kewangan yang membentangkan Belanjawan 2021 memak­lumkan pengeluaran akaun 1 itu bersasar kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan seramai 600,000 orang.
Maknanya, kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan Akaun 1 sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000. Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan kemudahan pengeluaran Akaun 1, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.
Dalam pada itu, pemberian moratorium yang menjadi harapan mereka pula cuma diberikan secara bersasar. Tidak secara automatik yang disarankan banyak pihak.

DITAMBAH BAIK
Masih berpeluangkah ‘diubahsuai’ pengeluaran Akaun 1 itu, tanya mereka lagi. Saya tanya kenapa? Balas mereka, mungkin ada pertimbangan dibayarkan sekali gus, tidak dengan diansur. Maksudnya, lump sum. Sekali bayar RM6,000.
Saya membalasnya, akan ada perbahasan minggu ini di Dewan Rakyat untuk mem­bahas belanjawan ini, sebelum boleh diluluskan. Mana tahu masih ada rezeki untuk kerajaan tambah baik sikit.
Bila memikirkan nasib mereka yang menaruh hara­pan menggunung ini, terngiang-ngiang di kepala saya akan pepatah “memberi pancing lebih baik daripada beri ikannya”. Jika wang ansuran dari Akaun 1 itu boleh diperoleh sekepuk atau lump sum, penerimanya boleh segera buka meja niaga tepi jalan. Diberi secara ansur RM500 sebulan, pasti habis begitu sahaja.
Walaupun pepatah ‘pancing dan ikan’ ini hampir mencapai matlamatnya menerusi belanjawan dibentangkan kelmarin, ada pihak menyarankan saat menolong orang, kita harus benar-benar tahu apa yang mereka inginkan waktu ini.
Sekiranya dia benar-benar mengingini ikannya terus, maka berikan ikan yang `berbaloi’ itu dahulu, baru setelah itu berikan pancing dan ajarkan caranya menangkap ikan. Jika tempat memancingnya jauh, mungkin anda harus menolongnya lagi agar sampai di sana.
Menolong orang dengan cara memberi pancing lebih baik daripada memberi ikannya hanya akan berlaku jika orang tersebut tidak terlalu menginginkan ikan dan mengerti tentang memancing. Jika anda hanya berpedoman “memberikan pancing”, dikhuatiri jangan-jangan kita bukannya menolong, tetapi lagi menjerumuskannya ke ‘jurang’ lagi dalam.
Dalam laman-laman sosi­al, sudah kedengaran daripada mereka yang baru diberhentikan kerja, bayaran secara lump sum atau one-off daripada Akaun 1 KWSP amat diperlukan. Bukan secara ansuran.
“Untuk bayaran kereta, rumah dan sebagainya. Un­tuk bernafas sementara menunggu bantuan kerajaan atau dapatkan kerja baharu tetapi hampa,” kata seorang warganet.

JASA RM81 JUTA?
Di sebalik inti pati-inti pati prihatin rakyat yang dibentangkan kelmarin juga, sudah kedengaran cakap-cakap yang kurang enak mengenai peruntukan lebih RM81 juta untuk ‘menghidupkan’ semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menerusi Belanjawan 2021. Ia disifatkan tidak berasas dan bercanggah dengan beberapa keutamaan lain, yang sepatutnya diberikan perhatian.
Itu dakwaan Pengerusi Pena­ja Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Syed Saddiq Abdul Rahman, ketika menyuarakan pendirian tersebut. Katanya, pentadbiran kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dulu hanya memperuntukkan dana lebih rendah untuk JASA iaitu RM30 juta.
“JASA dihidupkan semula. Peruntukan Cybertroopers kerajaan kini (JASA) RM81 juta!.
“Malangnya, peruntukan baik pulih sekolah daif dikurangkan RM58 juta. Peruntukan kesihatan mental hanya RM24juta,” kata Syed Saddiq menerusi kenyataan di Twitter.
Diakui, keseluruhan Belanjawan 2021 yang dibentangkan mencakupi kehendak rakyat yang terancam akibat kekangan ekonomi dari ancaman pandemik Covid-19.
Kata Utusan Malaysia, daripada penjawat awam, pekerja swasta, petani, nela­yan, belia, warga emas sehinggalah banduan di penjara, kesemuanya mene­rima manfaat daripada perun­tukan terbesar dalam sejarah Malaysia, RM322.5 bilion itu.
Begitupun realitinya, cabaran struktur ekonomi sebegini tiada jawapan pintas – intervensi yang diperlukan semuanya memakan masa, baik dalam meningkatkan pendapatan rakyat dengan membina sistem pendidikan yang menawarkan kemahiran lebih berharga, mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi dan membina lebih ramai usahawan kecil yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Demikian juga kerajaan terpaksa berdepan daya saing meningkatkan pelaburan infrastruktur seperti pengangkutan awam, internet pantas, dan perumahan mampu milik, agar kos harian rakyat dapat dikurangkan.

BEBAN HUTANG
Cabaran kehidupan sehari-hari menyebabkan angka kejayaan makro ekonomi kurang bererti buat sebahagian rakyat. Ada yang terpaksa berhutang untuk sesuap nasi. Ada yang simpanannya tak seberapa, runsing jikalau ‘hujan di tengah hari’. Ada yang risau tentang nasib keluarga dan hari esok – kerana gaji masih rendah atau masih mencari kerja. Ada rakyat yang terpaksa jual rumah, terpaksa tambah hutang, terpaksa ikat perut hanya untuk melalui kehidupan hari demi hari.
Segala tiang dalam sebuah struktur ekonomi yang inklusif jika tidak dirangka secara serius dan teliti, hanya akan mengulangi kesilapan lalu.
Kita tidak mahu kerajaan yang terlalu beria-ia mengejar gah semasa dan kuasa sehingga kabur pandangannya untuk masa depan. Kesilapan di mana kita mendabik dada dengan pelaburan projek mega di bandar besar – yang dikejar hanya outputnya sahaja, struktur cantik dan megah, tanpa memperkasa rakyat dari segi kemahiran, pendidikan dan macam-macam lagi untuk hidup selesa di hari mendatang.
Ancaman pandemik Covid-19 ketika ini, kesannya begitu dirasai. Rakyat perit hari ini lantaran tidak cukup dipersediakan. Kesilapan “gah masa lepas ini” yang sedang kita perbetulkan, agar anak cucu kita dibaiki nasibnya.
Kata Ibnu Khaldun: “He who finds a new path is a pathfinder, and he who walks far ahead of his contemporaries is a leader, even though centuries pass before he is recognised as such.” Maksudnya, barang siapa yang meneroka jalan baharu, yang berani melangkah jauh ke hadapan mendahului generasinya, dialah pemimpin yang sebenar, walaupun hakikat itu hanya akan terbukti nanti.
Dalam mendepani cabaran hari ini, jangan hanya memilih penyelesaian jangka pendek yang hanya meloloskan diri kita sendiri, tetapi meninggalkan beban hutang yang bakal menyepit dan menjadi musibah untuk generasi seterusnya.
Masih ada harapankah dikeluarkan lump sum RM6,000 daripada Akaun 1 KWSP itu? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN