Mereka semua tiada wajah - Utusan Malaysia

Mereka semua tiada wajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROSHIHAN ANNUAR YUB
[email protected]
Aku memandu perlahan sambil sesekali menjeling di kiri kanan jalan. Alhamdullillah, nampaknya keadaan jalan raya cukup tenang. Sesekali kenderaanku dipintas oleh bas-bas ekspres dan lori-lori yang sarat muatan. Aku faham. Pastinya mereka ingin cepat sampai ke destinasi ataupun mengejar trip perjalanan.
Nampaknya jika keadaan di jalan raya lengang begini tidak mustahil aku akan sampai awal di Taiping. Nanti lepas daftar masuk ke hotel bolehlah aku merayau di sekitar pekan mencari kedai-kedai makan yang sedap, maklumlah sesekali datang ke tempat orang kenalah banyak menjelajah.
Sebenarnya sengaja aku memilih bertolak malam dari Kuala Lumpur kerana memang aku tahu perjalanan ke Taiping tidak memakan masa lama. Rasanya paling lewat pun hanya empat jam kerana tahun lalu aku pernah sampai kerana menghadiri majlis perkahwinan teman sepejabatku.
Bertolak pada waktu malam juga sebenarnya lebih baik kerana selain jalan raya yang kurang sesak dengan kenderaan, udara juga agak dingin, jadi pemanduan lebih tenang dan selesa.
Aku jeling jam di kenderaan. Sudah hampir 12 malam. Rasanya dalam satu jam lagi sampailah aku ke destinasi. Aku genggam stereng dengan berhati-hati sebaik sahaja keluar dari Terowong Menora kerana jalan di situ agak berliku dan berbukit.
Ketika tekun memberi perhatian ke arah jalan raya di hadapan, tiba-tiba sebuah kereta yang aku tidak tahu dari mana munculnya memintas kenderaanku dengan laju dari laluan sebelah kiri. Berderau darahku seketika. Nasib baiklah ketika itu aku memandu perlahan jika tidak tak mustahil boleh terbabas atau hilang kawalan.
Aku sempat menyumpah seranah dalam hati. Aku terfikir kenapalah ada lagi pemandu spesis begini yang langsung tidak memikirkan keselamatan pengguna lain. Sudahlah jalan raya gelap dan berliku, boleh pula dia memandu seperti orang tak siuman.
Sedang kenderaanku menuruni bukit, tiba-tiba aku terperasan kereta yang memotongku tadi berada di hadapan. Namun kali ini pergerakannya cukup perlahan, mungkin dalam 20 atau 30 kilometer sejam. Aku lantas memberi isyarat lampu, meminta pemandu tersebut untuk beredar ke laluan kiri.
Ketika aku memberi isyarat lampu tinggi, aku perasan di kerusi belakang kereta tersebut ada tiga orang penumpang. Ada seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak. Mungkin kenderaan ini dinaiki satu keluarga fikirku dalam hati. Namun aku tetap berasa geram dengan pemandu tersebut kereta tidak cermat dan membahayakan pemandu lain.
Berkali-kali juga aku memberikan isyarat lampu namun tidak diendahkan. Aku cuba berfikiran positif, mungkin agaknya dia tidak perasan, lalu aku membunyikan hon untuk menarik perhatiannya. Setelah hampir tiga, empat kali hon dibunyikan barulah perlahan-lahan pemandu tersebut menukar laluan ke sebelah kiri.
Sebaik sahaja aku ingin memotong kereta berwarna merah itu, aku memasang niat untuk melihat pemandu dan penumpang di dalamnya. Bukanlah aku ingin menunjukkan reaksi marah atau protes, tetapi sekadar ingin melihat siapakah mereka.
Ketika keretaku berada betul-betul di sebelahnya aku lantas menjeling ke arah mereka. Nampak jelas ada lima orang di dalamnya. Namun tanpa disangka kesemua mereka yang berada di dalam kereta tersebut turut menoleh memandangku secara serentak. Aku tergamam!
Tanpa disedari aku menekan brek. Kereta yang ku pandu berhenti serta-merta. Kereta merah tersebut perlahan-lahan memintasku dan berlalu pergi membelah kegelapan malam. Aku kaget. Jantungku berdegup kencang. Perlahan-lahan aku tekan pedal minyak dan berhenti di laluan susur keluar Kuala Kangsar.
Aku beristighfar panjang. Serta-merta tubuhku menggigil dan dibasahi peluh. Nasib baiklah ketika kejadian jalan raya lengang dan tiada kenderaan lain di belakangku, jika tidak pasti aku dirempuh dari belakang. Aku bersandar di kerusi. Fikiranku kosong. Seolah tidak percaya dengan apa yang baru ku lihat tadi.
Aku pandang sekeliling. Cahaya dari lampu jalan yang ada di situ sedikit sebanyak meredakan ketakutanku. Aku seolah tidak percaya dengan apa yang ku lihat sebentar tadi. Terasa seperti mimpi.
Dengan mata kepala sendiri aku dapat melihat dengan jelas kesemua penumpang dan pemandu di dalam kereta itu tiada wajah. Mereka semua tiada mata, tiada hidung dan tiada mulut. Muka kosong. Seolah-olah kulit kosong yang ditampal di wajah mereka.
Aku cuba mengingati semula detik yang menakutkan itu. Iya, sebaik sahaja mereka serentak memandangku aku dapat melihat dengan jelas rupa mereka. Cukup Menyeramkan. Kepala mereka hanya ada rambut sahaja, namun selebihnya kosong!
Aku beristighfar beberapa kali cuba menenangkan diri sambil tarik nafas dalam-dalam. Aku keluar dari kereta dan mengambil sebotol air dan membasuh muka. Aku lihat jam di tangan sudah hampir 1 pagi. Hampir 10 minit juga aku di luar kenderaan menenangkan fikiran. Fikiranku masih dihantui peristiwa sebentar tadi.
Aku masuk ke kereta dan meneruskan pemanduan. Sebaik sahaja melalui jalan lurus di lebuh raya, aku terus memecut. Aku benar-benar tak sabar untuk sampai ke hotel. Waktu inilah aku terfikir alangkah baiknya jika bertolak awal dari Kuala Lumpur tadi, pasti perkara sebegini tidak akan berlaku.
Namun tidak sampai setengah jam memandu, sekali lagi jantungku berdebar kencang. Sebuah kereta di laluan kanan cuba memintasku namun aku perasan kereta itu tidak memotongku, sekadar ingin bersaing denganku. Aku menoleh…
Ya Allah! Dalam samar cahaya, sekali lagi aku dikejutkan dengan situasi yang cukup ingin ku elakkan. Sekali lagi kereta ‘berhantu’ tersebut berada di sebelahku dengan kesemua penumpangnya memandang ke arahku seperti tadi, juga kesemua mereka tanpa wajah. Jantungku seperti disentap keluar dari tubuh.
Seluruh anggota badanku menggigil. Aku tidak tahu syaitan apakah yang mengganggu perjalananku malam ini. Aku cuba kawal kenderaan dan menuju ke susur keluar Changkat Jering. Selesai membayar tol aku terus berhenti di pejabat PLUS berhampiran. Aku mengurut dada lega sebaik melihat banyak kenderaan yang berhenti rehat di situ.
Aku nekad tidak meneruskan perjalanan malam itu. Aku berjaga dalam kereta hingga ke pagi. Mungkin selepas subuh baru aku akan meneruskan perjalanan semula ke Taiping.

=====================================================================================================================

Aku dalam cerita tersebut ialah Muamin Mohsin. Menurutnya peristiwa yang menakutkan itu berlaku di sekitar tahun 2000. Sejak peristiwa tersebut, Muamin cuba mengelakkan dari memandu di waktu malam apatah lagi jika seorang diri. Peristiwa tersebut cukup memberi kesan kepadanya sehingga hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN