Maszlee, Saiful tinggalkan Pejuang - Utusan Malaysia

Maszlee, Saiful tinggalkan Pejuang

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerima tamparan hebat apabila dua pemimpinnya, ahli Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik dan Saiful Ambar Abdullah Ambar bertindak meninggalkan parti tersebut untuk memilih haluan masing-masing.

Di Johor Bahru, Maszlee yang mengumumkan penarikan diri dan bergerak sebagai ahli Parlimen bebas berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan analisis terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak.

“Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis. Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya dalam kenya­taan di sini semalam.

Justeru, menurut Maszlee, beliau kini berusaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasitinya sebagai ahli Parlimen Bebas.

Katanya, ia juga membabitkan gerak kerja aktivisme dan kerja-kerja kemanusiaan melalui rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan aktivis lain.

“Saya percaya perubahan ini tidak memerlukan pekerjaan dan jawatan, berminat dan peluang,” jelasnya.

Sementara itu di Ipoh, Saiful Ambar yang juga peguam yang menggubal perlembagaan Pe­juang, meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai keputusannya itu berkata, penyertaannya dalam Amanah bukan sesuatu mengejutkan.

Menurutnya, ini kerana beliau sudah lama dipelawa untuk menyertai parti tersebut khususnya selepas membantu Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Parlimen Padang Serai, Kedah.

“Ketika itu saya menolak pelawaan Amanah kerana ada beberapa tugas yang perlu saya selesaikan. Umpamanya saya perlu melunaskan pindaan parti Bersatu pada 2019.

“Kemudian berlaku krisis politik sehingga tertubuhnya parti Pejuang. Saya sempat berbakti untuk Pejuang dengan menggubal perlembagaan parti itu.

“Untuk menggubal perlembagaan parti, ia memerlukan idea, kreativiti, pandangan dan saya berjaya selesaikan sehingga Pejuang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sementara menantikan kelulusan.

“Setelah itu, maka selesaikah khidmat bakti saya untuk Pejuang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Saiful Ambar, keputusannya untuk tidak terus bersama Pejuang akan disimpan atas kapasiti peribadi beliau.

Beliau berkata, perkara yang lebih penting sekarang ialah memperkukuhkan PH dari segenap segi setelah berjaya mendapat mandat rakyat dalam PRU-14. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN