KUALA LUMPUR: Pembangkang memberi amaran tidak akan memberi laluan mudah menyokong Belanjawan 2021 jika beberapa kriteria dan tuntutan Pakatan Harapan (PH) tidak dipenuhi.
Dalam perbahasan di Parlimen, semalam, ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara lain mempersoalkan dana Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebanyak RM81 juta dan Penggerak Komuniti Negara RM8.5 juta yang beliau mahu kerajaan membatalkan keputusan berkenaan.
“Kalau kita bagi hujah apa pun orang tidak percaya. Kerajaan bagi subsidi padi untuk rakyat miskin. Tapi untuk kroni politik RM81 juta diberikan. Saya minta batalkan keputusan ini dan juga untuk Penggerak Komuniti Negara.
“Peruntukan one-off RM8.6 juta untuk kesenangan kelompok wanita. Menteri Kewangan perlu jaga integriti,” jelasnya semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, semalam.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan inti pati Belanjawan 2021 seolah-olah tersasar daripada objektif kerajaan bagi mengawal pandemik Covid-19.
Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan memberi laluan mudah menyokong Belanjawan 2021 selepas tidak memenuhi beberapa kriteria dan tuntutan Pakatan Harapan (PH).
“Sama ada nak luluskan atau tidak belanjawan ini kita akan pastikan ada rencana atau perubahan dilakukan supaya tidak membebankan rakyat khususnya pegawai kerajaan dan penjawat awam dan petugas barisan hadapan.
“Belum ada penentuan dan kepastian ia akan diluluskan dengan mudah demi membela nasib rakyat,” ujarnya.
Dalam sesi itu, Anwar turut membangkitkan persoalan mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada 2021, iaitu pada kadar antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus, yang beliau sifatkan tidak realistik dan bercanggah dengan ramalan beberapa badan kewangan.
Tambahnya unjuran tersebut seolah-olah cubaan untuk mengaburi mata rakyat mengenai kedudukan sebenar ekonomi negara.
Anwar turut menyentuh anggaran kutipan cukai korporat untuk tahun 2021 iaitu sekitar RM64.6 bilion dan menyifatkan unjuran tersebut tidak munasabah.
“Adakah unjuran berkenaan realistik dengan mengambil kira Covid-19 ke atas ekonomi negara sehingga berlaku penutupan syarikat-syarikat, pembuangan pekerja dengan jumlah yang banyak dan sebagainya,” soalnya. – UTUSAN ONLINE










