PETALING JAYA: Seorang pemain industri maritim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepat siasatan berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
Ketua l pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri R Jeyenderan berkata isu itu membabitkan percanggahan antara bil muatan (BL) dan pergerakan fizikal kargo petroleum yang laporan berkait dengannya telah dibuat pada 5 Jun lalu.
Katanya, transaksi terbabit didakwa bernilai jutaan ringgit dan boleh memberi kesan kepada keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.
“Saya telah ke Ibu Pejabat SPRM untuk mendapatkan perkembangan aduan saya kerana perkara ini melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit dan mempunyai implikasi besar.
“Saya sudah bercakap dengan pegawai penyiasat dan diberi jaminan bahawa siasatan masih berjalan serta memerlukan sedikit masa lagi,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Jeyenderan bimbang risiko besar berlaku apabila pergerakan sebenar kargo tidak lagi sepadan dengan dokumen rasmi.
Katanya, ejen perkapalan mungkin bukan pemilik kargo atau pihak mendapat manfaat daripada transaksi, tetapi berdepan risiko kerana pihak berkuasa terminal dan rakan niaga bergantung kepada arahan serta pengisytiharan diproses melalui mereka.
Beliau berkata isu menjadi lebih rumit dalam urus niaga minyak apabila ejen perkapalan menerima arahan berbeza daripada pedagang, penerima, terminal, ejen penghantaran dan penyedia logistik yang tidak sepadan dengan BL asal.
“Amalan mencampur minyak selepas kargo dipunggah bukan luar biasa.
“Tetapi rekod Kastam, BL, bacaan tangki dan kedudukan sebenar kargo perlu sentiasa selari bagi mengelak masalah pematuhan, pertikaian komersial serta ketirisan hasil kerajaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE










