ANKARA: Ukraine mengumumkan menandatangani tiga lagi perjanjian dron bersama Denmark, Estonia dan Belanda, sekali gus menawarkan kepakaran yang diperolehi negara itu sepanjang lebih empat tahun konflik bersenjata dengan Russia.
Presiden, Volodymyr Zelenskiy mengumumkan perkara tersebut menerusi hantaran di media sosial di luar persidangan Sidang Kemuncak Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang berlangsung di Ankara, Turkiye.
Beliau turut mendedahkan Kyiv kini telah memeterai sembilan perjanjian seumpamanya.
Lapor Reuters, Ukraine berjaya membangunkan industri dron yang sangat canggih meskipun hanya memiliki kepakaran terhad dalam sektor berkenaan ketika Russia memulakan pencerobohan pada Februari 2022.
Sejak kebelakangan ini, Zelenskiy mengadakan lawatan ke pelbagai negara bagi mempromosikan perjanjian tersebut, khususnya di Asia Barat, memandangkan negara-negara Teluk terpaksa mempertingkatkan pertahanan bagi mengekang serangan dari Iran tahun ini.
Mengulas mengenai perjanjian dengan Denmark, Zelenskiy berkata, memorandum tersebut membuka peluang yang lebih besar untuk pengeluaran pertahanan bersama, pertukaran kepakaran serta ketelusan dalam eksport senjata.
Beliau turut menambah, Denmark merupakan negara pertama yang menawarkan pengeluaran bersama di Ukraine.
“Sangat adil untuk Denmark kini mendapat akses kepada eksport senjata Ukraine yang telah diuji dalam medan perang sebenar,” katanya.
Dalam satu hantaran di laman X pada penghujung hari pertama persidangan, Zelenskiy menegaskan, Ukraine sepatutnya berada di sini secara mutlak.
Beliau turut mengulangi komitmen Kyiv bahawa matlamat utama mereka dalam perhimpunan tersebut adalah untuk memperolehi lebih banyak sistem pertahanan udara dan mengukuhkan kedudukan diplomatik.
Zelenskiy turut menekankan keperluan mendesak Ukraine untuk mempertingkatkan benteng pertahanan bagi menangkis peluru berpandu balistik Russia susulan dua serangan besar-besaran yang menyasarkan ibu negara Ukraine dalam tempoh seminggu lalu.
Dalam serangan terbaharu pada Isnin, seramai 19 orang dilaporkan terkorban di Kyiv.










