PETALING JAYA: Langkah bijak menyimpan sejak 2017 bertukar menjadi detik yang tidak akan dilupakan buat Mohd. Syazi Mohd. Hilmi @ Hilmi, 46, apabila diumumkan sebagai pemenang sebuah BMW i4 eDrive35 menerusi Kempen AWFAR 2026 anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).
Kakitangan swasta dari Kota Bharu, Kelantan itu menerima hadiah utama berkenaan pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan AWFAR bagi bulan April 2026, sekali gus membuktikan bahawa kesetiaan dan disiplin menabung mampu membawa ganjaran yang amat bermakna.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, AWFAR merupakan satu daripada cara Bank Islam menghargai pelanggan yang menjadikan simpanan dan perancangan kewangan sebagai keutamaan.
“Pada masa yang sama, ia mencerminkan usaha berterusan kami untuk membantu lebih ramai individu dan keluarga membina masa depan kewangan yang lebih kukuh melalui penyelesaian kewangan patuh syariah yang mudah diakses dan relevan dengan keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemenang kategori Cabutan Negeri, Mohd Saufi Shaharuddin, 49 tahun, dari Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur dan Abdul Yazid Yahaya, 55 tahun, dari Klang, Selangor.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000 bagi wilayah Kuala Lumpur/Putrajaya dan Selangor.
Secara keseluruhan, seramai 251 pemenang hadiah utama dan sagu hati bagi cabutan bulanan serta 31 pemenang utama dan sagu hati bagi Cabutan Negeri diraikan bagi April 2026.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam – Perbankan Runcit, Mizan Masram berkata, kemenangan mereka mencerminkan komitmen Bank Islam dalam menyampaikan nilai yang bermakna kepada pelanggan sambil menggalakkan budaya menyimpan.
“Melalui perkongsian kisah kejayaan sebenar pelanggan, kami berharap dapat meningkatkan keyakinan serta keterlibatan pelanggan sedia ada, di samping menarik minat lebih ramai bakal pelanggan untuk menyimpan melalui AWFAR.
“Kerjasama strategik dengan BMW pula dijangka dapat memperluaskan capaian kempen, memperkukuh nilai jenama dan meningkatkan daya tarikan produk kepada kumpulan sasaran yang lebih pelbagai,” katanya.
AWFAR, yang sebelum ini dikenali sebagai Al-Awfar, merupakan akaun pelaburan berisiko rendah berdasarkan konsep Mudarabah Bank Islam yang diperkenalkan pada tahun 2009.
Selaras dengan komitmen Bank Islam dalam menawarkan penyelesaian kewangan yang relevan serta memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang, AWFAR telah diperkasa menerusi pengenalan AWFAR Savings.
Berkuat kuasa 1 Julai 2026, Bank Islam menyediakan pembukaan akaun baru melalui akaun AWFAR Savings berasaskan kontrak Tawarruq.
Selain menikmati simpanan yang lebih terjamin, pelanggan juga berpeluang memenangi pelbagai ganjaran menarik menerusi 20 kategori cabutan dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM15 juta, sekali gus meningkatkan nilai bagi setiap simpanan yang dibuat.
Antara kategori utama yang ditawarkan ialah Cabutan Jutawan, yang menyaksikan seorang pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta pada setiap suku tahun.
Selain itu, Cabutan Bulanan turut menawarkan pelbagai hadiah eksklusif, termasuk barangan kemas, jam tangan mewah dan kenderaan daripada jenama terkemuka.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai kempen AWFAR hanya perlu membuat simpanan minimum sebanyak RM100. – UTUSAN










