PUTRAJAYA: Walaupun kes positif Covid-19 meningkat sedikit berbanding kelmarin iaitu 972 kes, namun bilangan kes pulih merekodkan tertinggi iaitu sebanyak 1,345 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya adalah 29,579 kes.
Bagaimanapun, jumlah kematian merekodkan lapan kes selain pertambahan enam lagi kluster baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes positif yang dilaporkan itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini sebanyak 41,181 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula 11,308 kes.
Beliau berkata, enam kluster baharu itu ialah Kluster Nahaba melibatkan Kota Belud, Sabah (25 kes), Kluster Numbak di Kota Kinabalu, Sabah (lapan kes) dan Kluster Perigi di Klang, Selangor (39 kes).
Turut direkodkan, katanya, Kluster Seri Terapi di Kepong, Kuala Lumpur dan Alor Gajah, Melaka (12 kes), Kluster Padang, Kota Tinggi, Johor (lima kes) dan Kluster Harmoni di Putrajaya (lima kes).
“Sabah mencatatkan sebanyak 370 kes manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 165 kes daripada jumlah keseluruhan kes positif.
“Sebanyak 14 kes adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster PTS Tawau (enam kes), Kluster Penjara Sandakan dan Kluster Penjara Kepayan masing-masing empat kes,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Noor Hisham berkata, perkembangan kes positif di negeri-negeri lain pula, Negeri Sembilan (260 kes), Selangor (137 kes), Labuan (63 kes), Kuala Lumpur (20 kes), Perak (51 kes) dan Pulau Pinang (34 kes).
Selain itu, katanya, Kedah dan Johor mencatatkan lapan kes, Melaka dan Putrajaya masing-masing (lima kes), Sarawak (empat kes) dan Kelantan (dua kes).
Beliau menjelaskan, sehingga kini, terdapat 86 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Kluster Bah Perdana dimaklumkan tamat hari ini melibatkan Kuala Lumpur. Seramai 55 individu telah disaring yang mana sembilan kes dikesan positif dan baki 46 individu adalah negatif. Tiada kes kematian dilaporkan dalam kluster ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










