KUALA LUMPUR: Islam memberi kelonggaran untuk menggunakan sumber haram dalam kes darurat yang boleh mengakibatkan kematian dan penyakit kronik berikutan sumber halal tidak diperoleh.
Itu penjelasan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung soal halal dan haram sesuatu vaksin.
Beliau berkata, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah menetapkan hukum harus bagi penggunaan sesuatu vaksin bagi menjaga nyawa.
Katanya, MKI sentiasa mengkaji perkara itu mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
“Mesyuarat Muzakarah MKI telah menjelaskan hukum harus bagi penggunaan vaksin, selari dengan kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam berteraskan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa.
“Dalam isu perubatan, ulama sepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik dan halal serta tidak mempunyai unsur-unsur yang memudaratkan kesihatan badan dan akal manusia.
“Namun, terdapat kelonggaran menggunakan sumber yang haram dalam kes darurat yang boleh mengakibatkan kematian dan penyakit kronik, sedangkan sumber halal tidak diperoleh,” katanya ketika sesi penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) tentang peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menentukan isu halal dan haram sesuatu vaksin.
Malaysia telah berkomunikasi dengan 10 daripada 11 pengeluar vaksin Covid-19 yang kini berada di ujian klinikal fasa tiga.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, lapan pengeluar sudah pun dihubungi secara terus manakala dua lagi melalui fasaliti COVAX.
Katanya, beberapa rundingan kini berada di fasa akhir dan pengumuman rasmi berhubung perkara itu akan dibuat apabila ia telah dimeterai tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE










