Emak tanya adik mana – Abang - Utusan Malaysia

Emak tanya adik mana – Abang

ADIK Allahyarham Siti Nor Surya, Nur Liyana Syuhada Ismail menjaga ibunya yang terlantar sakit di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ibu kepada Siti Nor Surya Ismail yang dibunuh kejam di rumahnya di Kampung Lubuk Batu di Kuala Telemong, Hulu Terengganu kelmarin masih tidak mengetahui tragedi menyayat hati yang menimpa anak perempuannya.

Abang sulung mangsa, Mohd. Zarif Amir Ismail, 29, berkata, perkara itu terpaksa dirahsiakan kerana bimbangkan kesihatan ibunya, Zaini Musa, 55, yang menghidap kanser otak tahap tiga.

Katanya, walaupun ibunya berada di rumah bersama adik kelimanya itu ketika pembunuhan berlaku, namun faktor keuzuran menyebabkan ibunya tidak mengetahui apa yang terjadi.

“Emak masih tidak tahu Siti (Siti Nor Surya) sudah tiada. Malam tadi, emak ada tanya Siti mana dan saudara memberitahu Siti demam.

“Pagi ini, emak sekali lagi tanya, Siti demam lagi ke? Atas faktor kesihatan emak, kami terpaksa rahsiakan dahulu tentang Allahyarham,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediaman keluarganya di Kampung Beladau Selat di sini semalam.

Menurut Mohd. Zarif Amir, ibunya terlantar sakit kira-kira dua bulan lalu selepas menjalani rawatan radioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan sejak Disember tahun lepas.

Katanya, kesan rawatan itu turut menyebabkan penglihatan ibunya kabur di samping sema­kin hilang daya ingatan.

“Hanya mata kiri emak yang masih buka tetapi sudah kabur. Terbaharu dalam beberapa hari ini emak sudah mula boleh bercakap dan bertanya mana Siti.

“Siti anak perempuan sulung dalam keluarga, selama menjaga emak dia tidak pernah mengeluh dan dia rela berkorban untuk tidak menyambung pelajaran kerana tahu ayah, abang-abang serta adik lelaki bekerja,” katanya.

Mohd. Zarif Amir berkata, kira-kira pukul 8 pagi semalam, adik keduanya, Mohd. Zahid Azroy, 28, pulang ke rumah menghantar sarapan bubur sebelum keluar semula selepas makan.

“Semasa adik keluar katanya Siti berada di katil emak dan kemudian terus menutup pintu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN