Ellyza Azizi tolak dua tawaran heroin, mahu bina nama perlahan-lahan - Utusan Malaysia

Ellyza Azizi tolak dua tawaran heroin, mahu bina nama perlahan-lahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ellyza Azizi mendedahkan pernah menolak dua tawaran untuk memegang watak utama kerana mahu membina kerjaya seni secara berperingkat dan tidak terburu-buru mengejar populariti.

Menurut Ellyza, dia lebih selesa menerima watak pembantu utama kerana percaya karakter sedemikian memberi ruang lebih luas untuk dirinya meneroka kemampuan lakonan.

“Saya lebih memikirkan perjalanan kerjaya untuk tempoh tiga atau empat tahun akan datang. Saya percaya kalau naik terlalu cepat tetapi belum bersedia untuk mengekalkannya, saya juga boleh jatuh dengan cepat.

“Saya rasa watak seperti ‘manic pixie’ atau karakter yang membantu protagonis mencapai matlamat lebih menarik untuk diterokai.

“Watak utama memang menyeronokkan, tetapi saya lebih tertarik dengan karakter yang mempunyai lebih banyak warna,” katanya.

Ellyza berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran drama bersiri Viu Original, Cela, di Hulu Langat, baru-baru ini.

Mengulas mengenai perancangannya dalam industri seni, Ellyza berkata, dia tetap menyimpan impian untuk bergelar heroin suatu hari nanti, namun merasakan belum tiba masanya untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Mestilah saya mahu bawa watak utama nanti. Kalau ada peluang, sudah tentu saya mahu. Cuma buat masa sekarang, belum lagi.

“Sebenarnya saya mahu berlakon untuk jangka masa panjang. Jadi, saya rasa lebih baik untuk tidak terlalu bermain selamat.

“Saya bersyukur kerana setiap karakter dan projek yang dilakukan meninggalkan kesan kepada penonton. Saya lebih suka orang mengingati sesebuah projek berbanding hanya menghasilkan karya demi karya tanpa meninggalkan impak,” katanya.

Dalam pada itu, Ellyza mengakui masih dibayangi kebimbangan untuk menggalas watak utama kerana tidak mahu gagal memenuhi jangkaan penonton.

“Saya takut kalau belum mampu membawa watak itu dengan baik. Tambahan pula, saya bukan datang dengan jumlah pengikut media sosial yang besar. Saya bimbang penonton mempunyai jangkaan tertentu terhadap seseorang heroin.

“Saya sentiasa cuba mencabar diri. Malah, untuk menerima watak Wardah dan berlakon bersama nama-nama besar pun saya sangat bersyukur. Saya benar-benar menikmati perjalanan kecil saya dalam industri ini,” katanya.

Drama Cela turut menampilkan barisan pelakon seperti Hun Haqeem, Nabila Huda, Zarif Ghazzi, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Lisdawati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN