KUALA LUMPUR: “Ini duit anda, tapi buatlah keputusan yang tepat.”
Itu kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP), Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias (gambar) mengulas isu melibatkan pengeluaran Akaun 1 yang menjadi hangat apabila ramai pihak mahu kerajaan membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 bagi membantu rakyat yang terjejas dengan krisis Covid-19.
“Bukan kami cakap jangan keluarkan, tapi jangan buat keputusan yang terburu-buru dan ahli boleh datang berjumpa kami untuk perkhidmatan nasihat persaraan selain Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau meminta pencarum agar membuat pertimbangan sewajarnya selain mengambil kira pilihan yang ada sebelum membuat keputusan dikhuatiri berpotensi menjejaskan keselamatan sosial masa hadapan.
Katanya, tindakan mengeluarkan simpanan persaraan sepatutnya menjadi langkah terakhir selepas pelbagai pilihan lain termasuk bantuan kerajaan yang dilihat masih tidak mencukupi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu berkata, kerajaan bersetuju memberi kemudahan pengeluaran simpanan KWSP melalui Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.
Menurut Tengku Zafrul, pengeluaran itu bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas dengan unjuran keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 melibatkan RM4 bilion.
Walau bagaimanapun, jumlah yang dipersetujui kerajaan itu dianggap masih belum mencukupi lebih-lebih lagi kepada rakyat yang terkesan dengan kedudukan ekonomi mencabar ketika ini.
Dalam pada itu, Tunku Alizakri tidak memberi jawapan kepada persoalan jumlah pengeluaran yang akan dibenarkan, tempoh pengeluaran dan pencarum yang layak kerana ia masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, perbincangan masih dilakukan bersama Kementerian Kewangan dan sebaik sahaja ia diumumkan, keputusan tersebut tidak boleh ditarik semula.
“Terdapat banyak input daripada pelbagai pihak, jadi kami mahu mendengar apa yang sedang berlaku. Saya sendiri mahu membuat pengumuman secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE










