PUTRAJAYA: Kebimbangan kes positif Covid-19 ketika ini tertumpu kepada Lembah Klang dan Negeri Sembilan pula berbanding Sabah apabila merekodkan sebanyak 427 kes baharu berbanding Sabah 259 kes.
Walau bagaimanapun, kes positif di seluruh negara menunjukkan trend penurunan daripada jangkaan iaitu 822 kes jika mengikut unjuran R Naught (R0) kurang dari 1, iaitu sepatutnya mencatatkan 975 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini merupakan petanda baik dalam tempoh dua hari dan berharap ia berterusan dengan mempertingkatkan serta memperkukuhkan aktiviti di lapangan khususnya di Sabah di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
“Kita berharap dalam tempoh seminggu dua ini dapat mengawal kes penularan Covid-19 di Sabah, tetapi kebimbangan kita ketika ini adalah di Semenanjung.
“Jika kita lihat pergerakan 14 hari taburan mengikut daerah, tindakan awalan dan proaktif PKPB di empat negeri lebih awal berjaya mengurangkan kes-kes di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah. Kita tidak tunggu kawasan menjadi merah dahulu sebelum membendung jangkitan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak tiga pertambahan kluster baharu dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Karamunting di Sandakan (21 kes), Kluster Saga di Kota Kinabalu (sembilan kes) dan Kluster Haven di Lahad Datu (11 kes).
Menurut beliau, terdapat dua kes kematian direkodkan, manakala 86 kes positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 30 kes memerlukan bantuan pernafasan selain bilangan kes pulih 769 kes.
“Sabah mencatat sebanyak 259 kes daripada keseluruhan kes positif manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 202 kes.
“Sebanyak 24 kes berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster Tembok (15 kes), Kluster Penjara Kepayan (tiga kes), dua kes di Kluster PTS Tawau dan Kluster Rumah Merah, manakala Kluster Penjara Sandakan dan Kluster Penjara Seberang Perai satu kes,” katanya.
Sementara kes positif di negeri-negeri lain, beliau berkata, Negeri Sembilan mencatat 225 kes, Selangor (176), Labuan (46), Pulau Pinang (26), Kuala Lumpur (17), Kedah (17), Sarawak serta Perak masing-masing (14).
Tambah beliau, Johor merekodkan 10 kes, Melaka (enam), Putrajaya (tiga), Perlis (dua) dan Kelantan (satu).
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, setakat semalam, terdapat 46 hospital dikhususkan rawatan pesakit Covid-19 termasuk dua hospital universiti dengan jumlah 4,606 katil dan kadar penggunaan 54 peratus.
Selain itu, katanya, terdapat 67 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara dengan kapasiti 13,275 katil dan kadar penggunaan 29 peratus.
Beliau berkata, jumlah katil rawatan Covid-19 di hospital dan PKRC seluruh negara adalah 17,881 dengan kadar penggunaan 36 peratus. – UTUSAN ONLINE










