Banjir: Empat negeri catat peningkatan - Utusan Malaysia

Banjir: Empat negeri catat peningkatan

ANGGOTA bomba memindahkan seorang penduduk Fatimah Abd. Rahman dari rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Petaling, Tepoh, Terengganu semalam. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Banjir menunjukkan peningkatan di beberapa negeri selepas hujan dilaporkan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Sehingga semalam, sebanyak 1,108 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri antaranya Terengganu, Perak dan Kedah. 

Sementara Melaka, Pahang dan Johor semakin pulih dan beberapa PPS sudah pun ditutup.

Di Terengganu, hujan renyai yang berterusan sejak kelmarin menyebabkan jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 352 orang daripada 87 keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, kesemua mereka ditempatkan di 15 PPS di Kuala Nerus, Marang, Dungun, Setiu dan Besut.

Katanya, setakat pukul 6 petang semalam daerah Kuala Nerus terus mencatatkan bilangan tertinggi membabitkan seramai 134 mangsa daripada 29 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat.

Dalam pada itu, di Perak jumlah mangsa banjir mencatat pertambahan kepada 378 orang sehingga pukul 4 petang semalam berbanding 315 orang kelmarin.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, kesemua mangsa banjir yang dipindahkan semalam melibatkan 120 keluarga yang ditempatkan di empat buah PPS.

Menurutnya, PPS di SK Parit Haji Aman, Bagan Serai yang dibuka sejak 20 November lalu masih menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 169 orang daripada 69 keluarga.

Katanya, ini diikuti PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai seramai 107 orang daripada 25 keluarga.

Di Kedah seramai 74 mangsa membabitkan 18 keluarga dipindahkan di dua PPS  selepas kampung mereka dilanda banjir setakat petang ini.

Penyelaras Sekretariat Jawatankuasa  Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, dua PPS yang dibuka itu adalah di Sekolah Kebangsaan Malau di Kubang Pasu dan di surau Kampung Permatang Limau, Pokok Sena.

Di Kelantan pula hujan lebat hampir di semua kawasan di negeri ini sejak malam semalam menyebabkan paras air Sungai Kelantan di tiga lokasi melebihi tahap berjaga-jaga dan menghampiri paras amaran.

Berdasarkan infobanjir.water.gov.my, setakat pukul 6.30 petang ini, tiga lokasi terbabit adalah Sungai Kelantan di Kusial Baru yang kini mencecah 12.75 meter, Sungai Kelantan di Kuala Krai (22.14m) dan Sungai Kelantan di Kusial (12.34m).

Paras sungai Golok di pekan Rantau Panjang pula kini mencecah 6.91m, menghampiri tahap berjaga-jaga tujuh meter.

Dalam perkembangan lain, jumlah mangsa banjir di Melaka  terus mencatatkan penurunan apabila 304 penduduk ditempatkan di lima PPS berbanding 389 mangsa, semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN