ARTIS kreatif punya identiti tersendiri. Gaya memukau serta penampilan yang sering membuka mata penonton adalah keunikan yang perlu ada jika mahu terus menjadi sebutan. Itulah jenama dan originality kumpulan Def Gab C melalui vokalisnya, Asheed. Selain vokal unik dan mantap dia juga mempunyai atitude dan gerak badan yang cukup memukau ketika beraksi di pentas.
Boleh dikatakan dia antara penyanyi rock yang cukup menonjol apabila sering muncul dengan kelainan terutamanya apabila sering mengayakan rambut dengan pelbagai fesyen dan warna. Tidak hairanlah kumpulan yang menyajikan lagu-lagu moden dan punk rock ini antara yang digilai peminat di era 90-an dan 2000.
Figura empunya nama sebenar Mohd. Ashid Ahmad, 47, berkongsi kisah silamnya sebelum dan selepas bergelar artis bersama Mingguan Malaysia.
“Sebelum bersama Def Gab C, saya terlebih dulu menyertai dua kumpulan rock, tapi langsung tidak menjadi. Kumpulan pertama, Mahsuri. Ketika itu berusia 16 tahun. Album sudah siap rakam, tapi langsung tak keluar. Bila saya tanya jawapannya adalah isu teknikal.
“Selepas habis sekolah pada 1991, saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Sekali lagi saya dilamar menjadi penyanyi kumpulan bernama Nakal. Penerbitnya ketika itu Saari Amri. Namun saya tak tahu apa masalah dan puncanya apabila disingkirkan pada saat akhir. Yang peliknya penyingkiran saya hanya dimaklumkan oleh anggota lain.
“Ketika itu saya cukup kecewa. Dua kali impian saya gagal. Saya balik kampung di Anak Bukit, Kedah dan botakkan kepala. Hampir empat tahun juga menganggur. Akhirnya saya kerja di syarikat rakan yang mengeluarkan susu dadih. Dan nak jadi cerita mereka nak buka satu cawangan di Kuala Lumpur. Jadi mereka pilih saya untuk jaga cawangan di sana. Mulanya hati berbelah bagi juga kerana kalau boleh saya tak mahu jejak lagi kaki ke Kuala Lumpur,” katanya ketawa.

Di Kuala Lumpur, Asheed banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakannya di Pasar Seni. Ketika itulah dia mendapat peluang sekali lagi apabila ditawarkan menjadi penyanyi.
Menurutnya, kumpulan yang menawarkan peluang kepadanya ini memang sudah cukup anggota, namun penyanyinya, Oney bekas anggota Lipan Bara menarik diri.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, Asheed nekad mengambil peluang tersebut dengan positif walaupun tidak menaruh harapan tinggi.
Sesi uji suara yang dijalankan oleh Joe Wings selaku penerbit dan pengasas kumpulan ini memberikannya sinar baharu apabila dia diterima secara rasmi menganggotai kumpulan tersebut.
Katanya, waktu itu nama kumpulan belum ada lagi. Arwah J.S Kevin yang memberikan nama tersebut sebaik sahaja pesawatnya dari Hong Kong mendarat di Kuala Lumpur.
Nama Def Gab C, kata Asheed membawa maksud cord kreatif gitar.
ARWAH LOLOQ
Bagaimanapun, katanya, apabila album selesai dirakam, sekali lagi masalah timbul apabila lagu Harapanku yang menjadi lagu target langsung tidak mendapat sambutan dan promosi. Hampir 10 bulan mereka tiada show. Sekali lagi dia kecewa.
“Setelah berbincang akhirnya kami bersetuju cuba promosikan lagu Ibu Kota Cinta. Tak sangka lagu tersebut meledak dengan cepat dan Def Gab C terus dikenali.
“Ketika pembikinan album kedua ada juga ceritanya. Ketika 10 lagu sudah siap dirakam, kami dimaklumkan album tersebut tiada lagu killer.
“Kami jumpa M.Nasir untuk minta kebenaran ambil lagu Cinta Sakti miliknya. M. Nasir beri lampu hijau, lantas kami buat arrangement muzik ikut cara Def Gab C, tapi bila dah siap masalah lirik pula timbul. Masa itu kami hanya terfikir arwah Loloq je, jadi terus hubungi dia.
“Loloq setuju dan minta saya jumpa dia di Lorong katak sebelah Pasar Seni. Sambil minum dia capai pen dan kertas. Tak sampai lima minit dia tulis, terus dia kasi saya… ‘Nah, dah siap!’ katanya. Sebab itulah album kedua kami mengandungi 11 lagu,” ceritanya.
TUJUH ALBUM
Menurut Asheed, tujuh album studio yang dikeluarkan oleh Def Gab C menerima sambutan menggalakkan daripada peminat.
Namun sebagai anak seni dia tahu jatuh bangunnya. Ketika era media sosial mula berkembang, sedikit sebanyak penjualan albumnya mula terkesan. Peminat sudah mula melayari lagu-lagu di platform media sosial daripada membeli album.
Era menerbitkan album penuh sudah tidak lagi relevan ketika itu. Artis baharu dan ternama sudah mula menerbitkan single yang punyai satu lagu untuk dipromosikan.
Sebagai kumpulan rock semestinya memberi kesan kepada kumpulan ini kerana bagi mereka cara itu tidak memberi kepuasan dalam berkarya.
“Kami kena terima hakikat, zaman semakin maju dan peminat juga lebih ke arah era digital, jadi membeli CD dan kaset seperti awal 90-an dahulu tidak lagi menjadi trend apabila setiap lagu-lagu hanya boleh diakses dalam media sosial.
“Bagaimana pun Def Gab C masih belum berkubur. Kami saling berhubung dan mencari material baharu untuk showcase reunion akan datang. Insya-Allah, jika ada rezeki mungkin selepas selesai pandemik Covid-19 ini kami akan cuba hadiahkan sesuatu untuk peminat, ” ujarnya.
Walaupun masih aktif dengan persembahan pentas, namun Asheed tidak menafikan pandemik Covid-19 ini sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya.
BERNIAGA

Tidak mahu berdiam diri, lantas penyanyi ini mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Kini Asheed boleh berbangga apabila produk kosmetik dan kesihatan yang diceburinya menampakkan hasil lumayan.
“Saya tidak kekok kerana sebelum ini pun saya sudah biasa menjalankan perniagaan. Sambutan diterima daripada pelanggan ketika ini amat menggalakkan. Produk kesihatan seperti sarang burung yang saya ceburi ini cukup bagus kesannya kerana ia boleh membantu memperbaiki peredaran darah, anti hipertensi, meningkatkan kesuburan, tumbesaran minda serta bermacam-macam lagi kebaikan,” jelasnya.
Produk kosmetik pula, tambahnya, lebih kepada serum yang bertujuan memberi kesan positif pada sel-sel kulit untuk memberi kulit lebih sihat, tegang dan berseri.
“Saya juga alu-alukan individu yang berminat untuk menjadi rakan niaga saya. Tujuan saya hanyalah untuk berkongsi rezeki, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semakin mencabar hari ini.
“Kepada yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut, jangan malu-malu untuk hubungi saya di talian 013-2337088. Insya-Allah, mungkin ini rezeki baru anda semua,” katanya mengakhiri perbualan. – Mingguan Malaysia











