5,177 mangsa diperdagang untuk seks - Utusan Malaysia

5,177 mangsa diperdagang untuk seks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siapa sangka niat mencari rezeki halal di negara luar bagi mengubah kehidupan keluarga bertukar mimpi buruk apabila diri ‘diperdagangkan’ bagi pelbagai tujuan terutama melibatkan kegiatan seks serta buruh paksa.

Ini terbukti apabila 5,177 individu dipercayai dieksploitasi untuk kegiatan tersebut sejak 2017 hingga September lalu.

Lebih mengejutkan, terdapat mangsa yang masuk ke Malaysia melalui pintu sah, namun hanya menyedari mereka ditipu sindiket sebaik sahaja tiba di negara ini.

Berdasarkan statistik Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, jumlah tersebut melibatkan 3,624 wanita, 192 lelaki dan 77 individu di bawah umur.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah (D3) ATIPSOM, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua individu tersebut terdiri daripada 1,521 warga Vietnam, Indonesia (1,080), Thailand (891), China (257) dan Filipina (209).

Beliau berkata, siasatan mendapati kebanyakan yang datang ke negara ini diekploitasi untuk tujuan seks serta bekerja secara paksa oleh sindiket.

“Mangsa yang dipaksa bekerja selalunya dijadikan buruh, pembantu rumah serta pengemis. Mereka juga terpaksa bekerja lebih masa, tidak diberikan penempatan yang selesa malah ada juga tidak dibayar gaji oleh majikan atau sindiket.

“Ada juga kes yang diselamatkan melibatkan wanita dijadikan hamba seks tanpa rela serta dikurung oleh sindiket,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Fadil berkata, daripada 5,177 individu yang diselamatkan, hanya 685 daripada mereka layak diberikan perlindungan kerajaan.

Jelasnya, ini kerana siasatan mendapati mereka benar-benar diekploitasi serta diperdaya sindiket.

“Dalam tempoh sama, kita juga menahan 1,608 individu yang didapati menjadi dalang, orang tengah atau ‘transporter‘ kegiatan tersebut.

“Bagaimanapun, kesemua kes berkenaan melibatkan warga asing. Kes-kes melibatkan pemerdangan manusia bukan tidak berlaku di negara ini, namun bilangannya sangat rendah dan masih terkawal.

Katanya, data bagi tahun ini menunjukkan penurunan susulan pandemik Covid-19 yang dialami seluruh dunia.

Jelasnya, ini juga susulan kawalan ketat di pintu-pintu sempadan serta operasi secara proaktif pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN